TRELLER JELAJAH

TRELLER JELAJAH

Undilah PAS

Undilah PAS

Thursday, November 26, 2009

Jangan halang ayah saya letak jawatan-Nik Abduh

PETALING JAYA, Nov 26 — Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, anak kepada Menteri Besar Kelantan, mengingatkan agar tiada mana-mana pihak cuba menghalang bapanya itu daripada melepaskan jawatan beliau jika berhasrat berbuat demikian kelak.
Nik Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS pusat berkata, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah melakukan yang terbaik dalam perjuangan tetapi beliau sudah tua dan keletihan.
"Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik.
"Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan. Jika tidak, saya akan memanggilnya, 'Wahai si bodoh!'," kata beliau di akhir tulisan terbaru blognya.
Nik Aziz, yang memimpin Kelantan sebagai Menteri Besar sejak 1990, mempunyai 10 orang anak.
Nik Abduh melahirkan pandangan itu sehari selepas Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS membayangkan barisan pelapis yang bakal menggantikan beliau.
Nik Aziz tidak menolak terdapat kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya jika beliau melepaskan jawatan Menteri Besar Kelantan.
Beliau enggan membayangkan masa dan nama bakal penggantinya tetapi memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri.
Antara nama yang disebut-sebut sebagai bakal menggantikan beliau ialah bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang juga Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaacob.
Ahmad dan Husam masing-masing merupakan Timbalan Pesuruhjaya I dan II PAS Kelantan.
Dalam ulasan panjang lebar itu, Nik Abduh yang baru-baru ini menyertai pemukiman Dewan Pemuda PAS menambah, "saya telah diberi ingat oleh seorang rakan bahawa politik desas-desus peletakan jawatan akan mengisi kocak air politik negeri Kelantan tidak lama lagi."
Perkara itu telah dirancang rapi untuk dicetuskan dalam politik parti dan kerajaan negeri, kata Nik Abduh.
"Ia dirancang dan rancangan itu disusup keluar dari peti yang tiris dek karat besi yang dititis air mata keinsafan.
"Saya enggan membenarkan tetapi saya dipaksa menerima hakikatnya pada pagi itu," katanya.
Kata Nik Abduh lagi, kesan yang dinantiharapkan adalah ayahnya akan menghulurkan "mawar."
"Ia menjadi. Ayahanda menjirus dengan harumi mawar di tepian telaga Kauthar, bukan merenjis di kubur yang menanti sepi," kata beliau yang menyifatkan Nik Aziz sebagai seorang yang sentiasa hebat.
"Ia (Nik Aziz) dihidupkan untuk memberi, bukan mengambil. Dia dihidupkan untuk dunia, bukan hanya untuk Malaysia dan Kelantan sahaja. Di dunia Islam, orang kata dia di angka 42," kata beliau merujuk kepada pemilihan Nik Aziz sebagai antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia, yang dikeluarkan minggu lalu.
Tambah Nik Abduh, Menteri Besar Kelantan itu sedang dihimpit ujian Tuhan yang datang secara bertubi-tubi.
Daripada isu Muktamar Agung Luar Biasa (EGM) dan politik persepsi, kata beliau ia bergerak menuju isu tajaan haji dan rasuah.
"Kemudian ia menerkam kepada isu PMBK (Perbadanan Menteri Besar Kelantan) dan kroni. Belum pun bengah, dia diasak isu letak jawatan dan konspirasi membunuh karaktor dan karier," katanya.
Nik Abduh juga memberitahu beliau telah memaklumkan kepada Jawatankuasa Harian PAS Pengkalan Chepa bahawa beliau berhasrat mengundur diri daripada jawatan Ketua Pemuda tahun depan.
"Umur saya seusia (blogger) Kickdepella mencecah 40 tahun. Saya berhasrat membuka buku-buku yang saya perlukan untuk masa depan yang mungkin lebih mencabar.
"Kemudian saya berhasrat menumpukan keringat saya kepada Dewan Pemuda PAS Pusat pada penggal terakhir saya di sana. Saya juga memaklumkan untuk tidak memegang apa-apa jawatan politik termasuk sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Kota Baharu tahun depan," katanya lagi.TMI

No comments:

Post a Comment