Bertempat di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (F.A.M) Kelana Jaya, Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin telah membuat kunjungan hormat menemui Setiausaha Agong persatuan tersebut iaitu Dato Azzuddin Ahmad bagi membincangkan secara lanjut status skuad seladang pada saingan Liga Malaysia musim 2010 nanti.
Menurut sumber lalu, pasukan Perak adalah antara negeri yang bermasalah dalam menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan caruman Pekerja (KWSP) serta Cukai Pendapatan (LHDN) selain dari pasukan seperti Pulau Pinang, Melaka, Shahzan Muda dan Pahang. Ditemui sejurus selepas kunjungan itu, Presiden PAFA menyatakan rasa gembira dengan pertemuan tersebut dan menyatakan rasa terima kasih atas layanan mesra dan kesudian pihak F.A.M melalui wakilnya Dato Azzuddin Ahmad mendengar penjelasan dari Perak FA.
“Perbincangan berjalan cukup baik antara saya dan Setiausaha Agong F.A.M (Dato Azzuddin Ahmad) dan PAFA berjanji akan cuba sedaya upaya dan sebaik mungkin untuk mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh F.A.M”, jelas beliau kepada wakil SDN.
“Sebagai Presiden PAFA adalah menjadi tanggungjawab saya dalam memastikan pasukan Perak diuruskan dengan baik dan dapat beraksi pada saingan Liga Malaysia musim 2010 nanti, InsyaAllah”, ujar beliau penuh harapan.
Dato Azzuddin Ahmad ketika disoal wakil SDN menyatakan bahawa kedatangan Presiden PAFA adalah dengan hasrat mencari jalan untuk memenuhi segala syarat yang ditetapkan oleh F.A.M untuk pasukan Perak mengambil bahagian pada musim 2010 nanti.
“Saya telah pun memberikan segala butiran yang perlu termasuk memberikan penekanan tentang tarikh tutup pada 30 November ini dan Dato Seri Mohammad Nizar berjanji untuk menyelesaikan permasalahan tersebut secepat mungkin”, katanya.
“Kita tidak boleh berganjak lagi dari tarikh tutup yang ditetapkan kerana ini adalah kali kedua tarikh tersebut dilanjutkan. Kita telah pun kesuntukan masa untuk menyediakan jadual pertandingan dan mengatur perancangan selanjutnya untuk tahun 2010 nanti”, tegasnya.
sumber: www.seladang.net
No comments:
Post a Comment