TRELLER JELAJAH

TRELLER JELAJAH

Undilah PAS

Undilah PAS

Friday, December 4, 2009

Permohonan Anwar ditolak

http://rumah.ws/gambar/ALBUM/anwaribrahimLebamMata_small.jpgOleh AMIRUDDIN HARUN
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan pertuduhan liwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Dengan keputusan tersebut, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan kes terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang tertangguh sejak 1 Julai lalu, dibicarakan selama sebulan mulai 25 Januari tahun depan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan menolak permohonan Anwar setelah mendapati laporan perubatan 'tiada penemuan klinikal yang kukuh menunjukkan kemasukan zakar dalam dubur pengadu' tidak boleh dijadikan asas bagi mahkamah menggunakan kuasanya untuk membatalkan pertuduhan tanpa mendengar keterangan saksi-saksi terlebih dahulu.

Hakim Mohamad Zabidin juga menyatakan, pasukan pendakwaan bagi kes terkini itu tidak boleh disifatkan berat sebelah hanya kerana mereka tahu tentang peranan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kes terhadap Anwar pada 1998.

"Ia juga tidak cukup, atas pertimbangan kebarangkalian, untuk mendapati pada peringkat ini, bahawa tuduhan terkini yang dihadapi oleh pemohon (Anwar) juga bersifat niat jahat (mala fide)," katanya.

Anwar memohon membatalkan pertuduhan itu pada 17 Jun lalu dengan alasan ia berniat jahat, menindas dan menyalahgunakan proses mahkamah selain merupakan konspirasi politik serta muslihat jahat sama seperti pertuduhan yang dihadapinya pada 1998.

Anwar, 62, didakwa meliwat Mohd. Saiful, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Kes itu sepatutnya dibicarakan selama sebulan mulai 1 Julai lalu tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran permohonan demi permohonan yang dikemukakan oleh ketua pembangkang itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohamad Zabidin berkata, Anwar memohon pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu dibatalkan dengan alasan laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pusrawi menunjukkan tidak terdapat kemasukan zakar ke dalam dubur pengadu iaitu Mohd. Saiful.

Bagaimanapun, hakim tersebut bersetuju dengan hujah Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden bahawa laporan-laporan doktor berkenaan hanya terhad kepada pemerhatian dan pemeriksaan fizikal serta tidak konklusif.

"Kes pendakwaan berlandaskan kepada keterangan lisan, keterangan forensik dan keterangan-keterang an lain yang akan dikemukakan di mahkamah di hari perbicaraan," ujarnya.

Beliau berkata, elemen penting yang perlu dibuktikan oleh pendakwa raya adalah berlakunya kemasukan zakar dalam dubur pengadu dan terpulang kepada pihak pendakwaan bagaimana ingin membuktikan elemen tersebut.

"Laporan perubatan tersebut adalah relevan dan sememangnya berguna kepada pembelaan dalam cubaan untuk menimbulkan keraguan terhadap sebarang keterangan yang mungkin dibawa pendakwa berhubung soal kemasukan.

"Tetapi persoalan sama ada terdapat atau tidak kemasukan atau terdapat keraguan atau tidak dalam sebarang keterangan yang mungkin dibawa pendakwa berhubung kemasukan tidak boleh diputuskan di peringkat ini hanya dengan berlandaskan laporan perubatan itu.

"Ia hanya boleh ditentukan setelah semua saksi memberi keterangan dalam perbicaraan," kata beliau.

Mengenai pertuduhan itu yang dikatakan dibuat dengan niat jahat dan penyalahgunaan proses mahkamah, jelasnya, Anwar mendakwa beberapa individu dalam pasukan pendakwa pada 1998 bukan setakat mencipta keterangan palsu terhadapnya tetapi juga berperanan membawa tindakan jahat ke atas kenalan rapatnya.

Selain itu, menurutnya, Anwar mengaitkan penglibatan Abdul Gani dalam kejadian 'mata lebam' pada 1998 bagi menunjukkan niat jahat Peguam Negara terhadapnya.

"Afidavit pemohon ada menyenaraikan peranan Tan Sri Abdul Gani dalam apa yang didakwa cuba memutar belit atau mencipta keterangan terhadap pemohon pada 1998.

"Walaupun begitu, tidak ada apa-apa yang menunjukkan perkara yang sama berlaku dalam kes terkini.

"Hanya dengan menunjukkan bahawa barisan timbalan pendakwa yang mengendalikan kes terkini ada pengetahuan tentang peranan Tan Sri Abdul Gani dalam kejadian 1998 tidak cukup untuk mahkamah ini mendapati barisan pendakwaan ini bersikap berat sebelah," katanya.

Selesai membaca keputusan setebal 14 muka surat itu, Hakim Mohamad Zabidin berkeras menetapkan tarikh perbicaraan walaupun peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar mahu tarikh sebutan diberikan kerana anak guamnya ingin mengemukakan rayuan.

Di luar mahkamah, seorang lagi peguam Anwar, Sankaran Nair menyatakan, notis rayuan dijangka difailkan esok dan pihaknya juga akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sama ada ingin mengemukakan permohonan menangguhkan perbicaraan atau sebaliknya

No comments:

Post a Comment