TRELLER JELAJAH

TRELLER JELAJAH

Undilah PAS

Undilah PAS

Thursday, December 31, 2009

'Ganti rugi RM490,312 bagai tiada makna'

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


PULAU PANGKOR: “Walaupun dapat wang sebanyak itu, saya tetap lumpuh dan tak boleh buat apa-apa dalam keadaan begini.

“Emak dan ayah banyak berkorban wang ringgit, tenaga dan masa sejak 10 tahun saya terlantar sakit, malah wang yang diperoleh itu pun, pada saya masih tak cukup untuk membayar jasa mereka dan menampung kehidupan saya pada masa depan,” kata Syarizan Sudirmin, 26.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk VT Singham membuat keputusan Syarizan yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah mendapat ganti rugi RM653,750 akibat kecederaan parah dialaminya kerana terjatuh dari motosikal ditunggangi selepas ditendang anggota polis, kira-kira 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, dia hanya diberi 75 peratus iaitu RM490,312.50 daripada ganti rugi am kerana sebahagian kesalahan berpunca daripada tindakannya sendiri.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah di sini, malam tadi, Syarizan berkata dia bukan mata duitan apabila menyatakan wang pampasan itu masih tidak mencukupi, namun lebih trauma apabila memikirkan kejadian itu.

“Sejak kemalangan itu pada 1999, hidup saya berubah. Enam tahun saya mendapatkan rawatan di hospital, 21 hari koma di Hospital Ipoh, selain dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Manjung.

“Dalam tempoh itu, terutama ketika di HKL, emak dan ayah sering berulang-alik. Lebih menyedihkan, ayah yang bekerja sebagai nelayan ketika itu terpaksa ke laut mencari duit menanggung kos perubatan dan perbelanjaan sepanjang saya di sana,” katanya sebak.

Selain itu, katanya, setiap bulan dia memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 untuk kos membeli ubat termasuk mencuci luka dan rawatan lain.

“Bukan tidak puas hati tapi saya akan minta peguam mencabar semula keputusan itu supaya pampasan diterima lebih tinggi, jika boleh RM1 juta atau RM2 juta.

“Ini kerana sebagai anak lelaki sulung dalam keluarga dan dalam keadaan tidak boleh melakukan sebarang kerja, saya sedih dan kecewa mengenangkan nasib adik-adik.

“Emak suri rumah sepenuh masa, manakala ayah kini mengambil upah membawa kaki pancing ke laut. Selain itu, saya ada tujuh beradik perempuan termasuk kakak sulung dan empat adik lelaki yang masih kecil dan semuanya memerlukan bantuan kewangan,” katanya.

Selain itu, katanya, sejak disahkan lumpuh, dia tidak mendapat bantuan mana-mana pihak.

Baru semalam dia menerima keputusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang meluluskan permohonan bantuan bulanannya RM150 selepas empat tahun memohon.

Syarizan berkata, apabila mengenangkan nasib yang menimpanya, ada ketika dia berputus asa dan tidak mahu meneruskan hidup.

“Dulu saya ramai kawan tapi sekarang bila sudah sakit, saya dijauhi. Malah, sejak 2005 hingga ke hari ini, beberapa kali saja saya keluar dari pulau ini, itupun untuk menjalani rawatan di Hospital Manjung.

“Pergerakan saya terbatas dan saya sedih dengan keadaan ini, malah pernah terfikir lebih baik mati daripada meneruskan hidup dalam keadaan begini,” katanya yang hanya bergantung pada kerusi roda untuk bergerak.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam pada 1999 lalu, Syarizan mendakwa dia menaiki motosikal bersama seorang rakan dan melalui Jalan Pasir Bogak, berdekatan rumahnya.

Ketika itu, katanya, dia berselisih dengan motosikal ditunggangi seorang anggota polis dan apabila meneruskan perjalanan, ada tiga lagi anggota polis di depannya.

“Saya pusing balik, anggota polis yang berseorangan tadi juga patah balik. Saya tiada pilihan dan pusing balik menuju ke arah tiga anggota polis berkenaan.

“Ketika itu, saya rasa motosikal bergoyang dan tidak lama kemudian saya nampak anggota polis itu menendang motosikal saya dan kami terjatuh.

“Tidak cukup itu, dia pijak tulang belakang dan kepala sebelum saya pengsan. Selepas lapan bulan kejadian, baru saya tahu tulang belakang patah seterusnya menjadi punca saya lumpuh,” katanya yang turut patah paha kiri dan kanan selain pernah hilang ingatan dalam insiden itu.

Sementara itu, bapa Syarizan, Sudirmin Selamat, 54, bimbangkan masa depan anaknya terutama apabila dia dan isteri sudah tiada.

“Jika boleh, kami mahu pampasan diberikan lebih daripada diputuskan, bukan untuk saya tetapi dia. Saya tak tahu sampai bila hayat saya dan boleh jaga Syarizan. Apabila sudah tiada nanti, siapa nak jaga dia, itu yang saya sedih,” katanya.

Ibu Syarizan, Norizan Ahmad, 47, berkata dia tidak sanggup melihat penderitaan anak keduanya yang kini sudah 10 tahun menanggung sakit.

“Selagi ada hayat, saya akan jaga dia meskipun anak-anak saya ramai dan ada masih kecil, namun terdetik juga, bagaimana keadaannya pada masa depan, siapa yang akan jaga dan urus dia nanti,” katanya sedih.

No comments:

Post a Comment