KUALA LUMPUR: Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau masih ingin terus berfungsi sebagai ahli Parlimen bebas dari Pasir Mas, buat masa ini.
Bagaimanapun beliau menyatakan pendiriannya untuk menyokong Umno dan kepemimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Mengenai hubungannya dengan PAS pula, Ibrahim berkata, kerjasama yang terjalin ketika pilihan raya umum lepas dengan parti itu kini sudah berakhir.
"Pada waktu itu PAS merasakan parti itu lemah terutamanya di Kelantan maka mereka menghulur tangan untuk bekerjasama dengan saya dan menjadi lumrah bagi orang yang tidak berparti memberi kerjasama kepada mana-mana parti politik yang mandekati kita.
"Mereka minta kerjasama saya dan saya beri kerjasama, bila selesai pilihan raya selesailah kerjasama di antara saya dengan PAS dan saya tidak menyertai PAS, hanya sekadar itu," katanya.
Mengulas lanjut mengenai desas desus yang mengatakan yang beliau akan menyertai Umno, Ibrahim menjelaskan; "Saya berpendapat atas beberapa sebab, belum ada lagi keperluan bagi saya untuk menghantar borang menyertai Umno.
"Saya adalah ahli Parlimen bebas dan bersedia bekerja sama dengan mana-mana pihak tetapi kecenderungan saya sekarang ini ialah menyokong Umno iaitu kepimpinan kerajaan sekarang sebab saya tengok sudah ada tanda-tanda positif ke arah perubahan dan ini adalah perkembangan yang cukup baik," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Menurut Ibrahim, terdapat beberapa sebab beliau mengambil keputusan untuk tidak menyertai Umno dalam waktu terdekat termasuk tidak mahu dipandang serong oleh pihak-pihak tertentu yang mengatakan beliau mengambil kesempatan kerana parti itu kini semakin pulih.
"Saya membuat pendirian ini sebab saya tak mahu nanti dituduh menyertai Umno kerana Umno sudah mula bertambah kuat, kerana ada kepentingan diri dan seumpamanya," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa parti itu tidak menyekat mana-mana pihak untuk kembali kepangkuan Umno termasuk Ibrahim sekiranya ingin menyertai semula parti yang ditunjangi orang Melayu itu. Katanya, Umno sedia mengkaji kewajaran Ibrahim kembali ke pangkuan Umno jika bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas itu berhasrat berbuat demikian dan sebarang permohonan menyertai Umno akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).
Kata Ibrahim lagi, kecenderungannya untuk menyokong Umno dan BN adalah berdasarkan faktor parti itu kini lebih bersikap terbuka dan sedia dikritik.
"Satu perkara yang paling seronok saya lihat dalam Umno sekarang ia sudah jadi betul terbuka dan boleh ditegur dan dikritik malah kepimpinan parti itu juga mengatakan kritikan yang membina (akan) disambut baik," katanya.
Jelasnya perkata tersebut berbeza dengan PAS yang bersikap sukar menerima teguran dan kritikan.
"Dulu pun saya mengatakan saya akan bekerjasama dengan sesiapa termasuk PAS, tetapi saya tidak menjadi ahli PAS dan bila saya memberi teguran, pandangan dan kritikan mana yang saya rasa patut, nampaknya mereka tidak boleh terima sebaliknya mendesak saya supaya meletak jawatan.
"Di sinilah saya lihat ada perbezaan... saya adalah ahli Parlimen Bebas dan bersedia bekerjasmaa dengan mana-mana pihak tetapi kecenderungan saya sekarang ini ialah menyokong Umno iaitu kepimpinan kerajaan sekarang sebab saya tengok sudah ada tanda-tanda positif yang cukup baik.
"Jadi kalau ada perkara-perkara positif yang cukup baik kita kenalah memberi sokongan tanpa mengira kepentingan kita," katanya.
Ditanya mengenai hubungannya dengan pemimpin Umno Kelantan, Ibrahim berkata: "Saya mempunyai hubungan yang baik dengan semua pemimpin Umno Kelantan kerana mereka juga rakan-rakan saya dulu dan jika mereka minta memberi sokongan dan bantuan, apa yang boleh saya bantu saya akan bantu, apatah lagi untuk kebaikan rakyat Kelantan."
Di ambil Dari Mstar
No comments:
Post a Comment