Oleh:taskforcemiri
Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dalam menjalankan tugas kita sebagai ibubapa, orang yang memikul amanah dalam membimbing anak-anak
dan sebagai anak-anak yang mentaati kedua ibubapa. Dalam sebuah riwayat yang dikeluarkan oleh Abd Razzak dan Said bin Mansur daripada Ali r.a berkata: “Didiklah anak-anak dan keluargamu dengan baik serta hiasilah mereka dengan akhlak yang baik”.
Sementara itu, pepatah Melayu berbunyi ‘melentur buluh biarlah dari rebung’ patut dijadikan amalan. Pendidikan dan pembentukan keperibadian anak hendaknya bermula dari kecil lagi. Ini mesti dilakukan oleh ibu dan bapa. Bagaimana mendidik anak supaya menjadi seorang berakhlak mulia, penyantun serta berbudi bahasa dalam usia anak yang masih mentah. Pertama, ibubapa perlu berusaha untuk memenuhi hak asasi anak seperti yang digariskan oleh Islam. Prof Abdul Rahim Omran berkata ada 10 hak asasi seorang anak iaitu;
1. Hak untuk hidup.
2. Hak untuk mempunyai genetik sahih (anak yang dilahirkan oleh ibubapa yang sah pernikahannya).
3. Hak untuk mempunyai nama baik.
4. Hak untuk mendapat belaian kasih sayang, perlindungan & penyusuan ibu.
5. Hak untuk mendapat tempat tidur berasingan.
6. Hak untuk mendapat pendidikan dan ilmu pengetahuan.
7. Hak untuk dibesarkan di dalam suasana Islam.
8. Hak untuk mendapatkan setiap sesuatu yang dibelanjakan baginya dari sumber halal.
9. Hak untuk mempelajari kemahiran hidup dan pertahanan diri.
10. Hak untuk mendapat layanan saksama tanpa mengira jantina.
Merujuk kepada hak yang ke-6 di atas, kita perlu melihat semula sejauhmanakah peranan ibubapa dalam memberi pendedahan ilmu fardhu ‘ain dan fardhu kifayah kepada anak-anak yang dikatakan amat kritikal kini. Masyarakat sering kali menyalahkan ibu bapa sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini terhadap anak-anak. Si bapa pula akan menyalahkan ibu yang menurutnya bertanggungjawab sepenuhnya mendidik anak-anaknya. Sebenarnya ibubapa bertanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak. Sikap saling menyalahkan antara satu sama lain sangat merugikan kerana tidak menyelesaikan apa-apa masalah.
Al-Quran menjelaskan fungsi mendidik anak terletak pada bahu seorang bapa, manakala ibu sebagai pendokong dan penyokong utamanya. Ini dinyatakan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan ketika Lukman berkata kepada anaknya, pada waktu dia memberi pelajaran kepada anaknya: Hai anakku, janganlah kamu menyekutukan Allah, sesungguhnya menyekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman besar.” (Surah Lukman, ayat 13).
Di sini, Lukman sebagai seorang bapa, mula mendidik anaknya dengan memperkenalkannya kepada Allah, Pencipta dan Pemilik alam ini. Seterusnya Lukman (mewakili kaum bapa) mengajarkan anaknya terhadap bahaya syirik dan menasihatkan anaknya mengenai beberapa tatacara akhlak mulia. Begitulah betapa besarnya tanggungjawab bapa dan ini menunjukkan bapa memang tidak boleh lepas tangan dalam pembinaan sahsiah anak. Dalam perubahan struktur keluarga pada zaman ini (di mana ibu juga sama-sama mencari nafkah), tugas bapa bukanlah setakat mencari nafkah untuk keluarga semata mata. Mereka perlu berganding bahu sebagai ibubapa yang berpadu tenaga untuk mengenalkan anak kepada akidah Islam mantap. Keutuhan akidah inilah yang akan menjamin kemuliaan akhlak remaja Islam.
Dalam hal ini, Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiyyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak-anak di dalam Islam) merakamkan enam tanggungjawab pendidikan, iaitu:
1. Tanggungjawab pendidikan keimanan (akidah).
2. Tanggungjawab pendidikan akhlak.
3. Tanggungjawab pendidikan jasmani.
4. Tanggungjawab pendidikan mental.
5. Tanggungjawab pendidikan rohani.
6. Tanggungjawab pendidikan sosial.
Bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa anak-anak kita tergolong daripada mereka yang berguna kepada umat manusia dan bukan di kalangan mereka yang membuat kerosakkan?. Untuk memastikan kesemuanya ini, suatu perkara yang sangat penting perlu dimiliki oleh setiap orang untuk menjalani kehidupan di atas bumi ini, lebih-lebih lagi dalam memikul amanah sebagai khalifah adalah dengan menguasai “ilmu”. Hanya dengan ilmu sajalah seseorang itu dapat membezakan yang halal dan yang haram, yang haq dan yang bathil. Hanya dengan ilmu jualah manusia dapat mentadbir bumi ini sebaik-baiknya agar mereka mendapat ketenangan serta kejayaan di dalam segala aspek kehidupan. Untuk kita memakmurkan bumi ini, wajiblah kita menuntut ilmu… Segala bentuk ilmu, samada ilmu fardu ain seperti ilmu Tauhid, ilmu Fiqh dan Muamalah ataupun ilmu fardhu kifayah seperti ilmu Sains, Matematik dan sebagainya.
Renunglah sejenak… Sejauhmanakah kita mendedahkan anak-anak kita dengan ilmu fardhu ‘ain?… Di kesempatan cuti persekolahan ini marilah sama-sama kita tekankan penguasaan ilmu fardhu ‘ain untuk anak-anak kita agar dengannya dapat dijadikan benteng bagi mereka menghadapi dunia luar yang penuh cabaran. Bawalah anak-anak kita bersama-sama solat berjamaah di surau/ masjid, biasakanlah mereka dengar membaca Al-Quran walaupun hanya sekadar selembar sehari dan biasakanlah mereka dengan mendengar tazkirah ilmiah yang dianjurkan. Insya Allah gabungan ilmu fardu ‘ain dan fardhu kifayah yang mantap akan membentuk jatidiri anak-anak ke arah yang lebih terarah. Insya Allah dengan ini dapat menghindar remaja kita kepada kemusnahan yang merosakkan aqidah, akhlak dan peribadi mereka.
Marilah kita merenung sejenak akan pentingnya ilmu di dalam kehidupan, terutama bagi mereka sebagai pelapis para pemimpin di masa hadapan. Anak-anak kita tidak akan dapat mendisiplinkan diri dalam menuntut ilmu melainkan dengan tunjuk ajar dan pimpinan ibubapa mereka. Sebagai ibubapa kita haruslah sentiasa memainkan peranan untuk memberi mereka sokongan dan tunjuk ajar yang diperlukan. Kita tidak boleh sibuk dengan urusan pekerjaan seharian sahaja sehingga kita abaikan tangungjawab terhadap mereka.
Bagaimanakah boleh kita membantu mereka?. Sebagai ibubapa, selain daripada memberi mereka galakan, kita harus juga ada hubungan komunikasi dengan anak-anak, sentiasa berinteraksi dengan mereka dan sentiasa bertanya akan masalah-masalah yang mereka hadapi dalam mengharungi dunia mereka. Sebagai ibubapa, kita juga harus memastikan mereka hanya menuntut ilmu yang benar dan yang bermanfaat dan tidak menuntut ilmu-ilmu yang boleh memudharatkan mereka. Antara ilmu-ilmu yang membawa kebaikan, sebagai contoh, ilmu fardhu ain, kerana ianya akan mengenalkan remaja kita kepada tanggungjawab mereka sebagai seorang Islam dan perkara-perkara yang diwajibkan ke atas mereka untuk ditunaikannya. Dengan demikan mereka akan menjadi remaja yang bertaqwa serta akan menjauhkan mereka daripada membuat maksiat dan sekaligus mereka akan mempunyai sifat muraqabah. Secara tidak langsung, mereka juga akan menjadi anak yang soleh dan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Sebagai ibubapa, mungkin kita akui dan memang tidak akan merestui sekiranya anak-anak kita menuntut ilmu yang boleh merosakkan mereka. Tetapi dari manakah mereka mendapat ilmu-ilmu tersebut? Sebagai remaja, anak-anak kita mempunyai ramai kawan dan kenalan. Sekiranya mereka berkawan dengan mereka yang mulia akhlaknya, mereka akan juga dipengaruhi sifat-sifat mulia daripada kawan-kawan tersebut. Tetapi, sekiranya mereka berkawan dengan yang buruk akhlak dan budi pekertinya, mereka akan terpengaruh dan akan mengambil sifat-sifat buruk tersebut. Jadi, kita hendaklah memastikan agar anak kita mendapat ilmu yang bermanfaat dan mengelakkan daripada ilmu-ilmu yang boleh merosakkan akhlak dan peribadi sebagai persiapan mereka menjadi khalifah di muka bumi ini.
Demikianlah antara tanggungjawab kita sebagai ibubapa di mana kita akan ditanya oleh Allah SWT akan amanah yang kita dipertanggungjawabkan ini. Buat akhirnya, semoga ibubapa dan pendidik dapat meningkatkan iltizam dalam mendidik cahaya mata masing-masing dengan merenung mafhum hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya akan mereka yang di bawah kepimpinannya!” (Riwayat Ibn Hibban).
Wallahu a’la wa a’lam.
No comments:
Post a Comment