TRELLER JELAJAH
Undilah PAS
Tuesday, October 27, 2009
60 keluarga hidu bau busuk di Fasa 1B Seri Manjung
SERI MANJUNG - Lebih 60 keluarga di Taman Fasa 1B, di sini melahirkan rasa kecewa apabila sistem pembetungan yang dibina oleh pihak syarikat pengurusan sisa kumbahan, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) didapati rosak dan tersumbat menyebabkan mereka terpaksa menghidu bau busuk daripada kumbahan itu.
Penduduk, Zainal Abidin Hassan, 42, berkata, masalah itu sudah timbul semenjak tiga minggu lalu menyebabkan mereka terpaksa menghidu bau busuk setiap hari.
Menurutnya, dia sudah beberapa kali membuat aduan berkenaan masalah itu, namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan.
“Bau busuk itu mengganggu kehidupan kami di sini terutama jika ingin menjamu selera.
“Saya sudah beberapa kali menelefon pihak IWK supaya menyelesaikan masalah ini, namun masih tiada tindakan,” katanya.
Zainal berkata, selain menelefon, dia juga cuba menghantar surat aduan melalui e-mel, namun masalah ini masih berterusan.
“Saya sudah tidak sanggup tinggal dalam keadaan sebegini yang nyata banyak mengganggu kehidupan kami di sini.
“Oleh itu, diharap pihak berkenaan dapat bertindak segera bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.
Penduduk, Misalach Visalasi, 72, berkata, dia kini kerap sakit kepala akibat sering menghidu bau busuk itu sejak tiga minggu lalu.
“Bukan saya seorang sahaja yang sering sakit kepala, bahkan anak dan cucu saya juga mengalami masalah kesihatan akibat sering menghidu bau busuk itu.
“Malah, kemeriahan sambutan perayaan Deepavali juga sedikit hambar berikutan masalah ini,” katanya.
Penduduk, Mahayah Yob, 42, berkata, ini adalah kali pertama berlaku di sini.
Menurutnya, pihak IWK juga pernah turun padang melihat masalah itu, namun ia tetap berlaku.
“Walaupun ada pekerja IWK turun padang untuk melihat sendiri masalah ini, apa yang menghairankan kami mengapa masih tiada tindakan diambil.
“Jika dalam tempoh seminggu kami boleh terima, ini sudah masuk tiga minggu, malah kami juga sudah tidak nampak jalan penyelesaian yang akan diambil oleh pihak IWK bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Katanya, diharap pihak IWK dapat memberi perhatian serius terhadap masalah ini bagi kemudahan penduduk di sini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment