TRELLER JELAJAH

TRELLER JELAJAH

Undilah PAS

Undilah PAS

Thursday, January 28, 2010

Tiga Kenyataan Media oleh Ketua Penerangan PAS ; Ustaz Idris Ahmad


1. PAS Kutuk Insiden Kepala Babi


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membaling kepala babi di perkarangan masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.


Perbuatan khianat ini jelas bertujuan untuk memprovokasi umat Islam untuk bertindakbalas. PAS berharap agar umat Islam dinegara ini dapat bertenang dan tidak terpengaruh dengan provokasi ini.


Sejak keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahaan untuk 'God', jenayah membakar, menyerang dan cuba menimbulkan ketegangan kaum menjadi-jadi.


PAS berharap agar pihak Polis meningkatkan rondaan keselamatan dan juga membuat siasatan segera terhadap insiden yang dilaporkan. PAS juga menyeru kepada rakyat dan NGO membantu pasukan keselamatan bagi memantau perkara ini bagi mengelakkan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini terus berlaku.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat





2. PAS Kutuk Penangkapan ISA, Mahu 10 tahanan dibicarakan


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk pengunaan Akta ISA terhadap 10 orang suspek pengganas termasuk beberapa pelajar asing dari luar negara. Salah seorang yang ditahan juga adalah rakyat tempatan.


PAS bertegas menolak penggunaan Akta ISA dan mahu 10 tahanan ini dibicarakan dimahkamah terbuka. Keengganan Menteri Keselamatan Dalam Negeri mendedahkan nama 10 suspek berkenaan menimbul kecurigaan kepada rakyat. 


Sewajarnya identiti mereka didedahkan bagi menunjukan pihak Kerajaan benar-benar membuat tangkapan dan membuat siasatan penuh ke atas mereka. Penahanan dibawah Akta ISA tidak memberikan apa-apa jawapan kepada rakyat, kerana kita tidak tahu sama ada mereka benar-benar bersalah atau sengaja dikambing hitamkan demi untuk menunjukan Menteri keselamatan Dalam Negeri menjadi hero dalam membantu Amerika yang kini giat memburu Pengganas antarabangsa.


Malaysia sebelum ini terkenal sebagai negara transit kepada pendatang tanpa izin, transit kepada aktiviti pengedaran dadah, transit kepada aktiviti pelacuran, transit kepada aktiviti penjualan bayi, transit kepada pengubahan wang haram, transit kepada aktiviti cetak rompak dan negara transit kepada pengganas. Tetapi itu semua tidak bermakna Kerajaan boleh menangkap orang sesukahati tanpa membuktikan mereka bersalah dimahkamah.


Adalah satu kezaliman jika orang yang dituduh itu tidak bersalah tetapi ditahan dibawah akta ISA dan terpaksa melalui musim-musim penderaan yang mengerikan untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 2 tahun di Kamunting atau di Kluang.


PAS yakin, dengan tindakan terbaru ini jelas rakyat sudah melihat bukti bahawa Malaysia adalah negara Polis, dan Menteri yang juga ahli Politik Barisan Nasional bebas menahan sesiapa sahaja tanpa perlu membuktikan kesalahan mereka. Maka, tidak mustahil juga akta ini akan digunakan suatu hari nanti kepada pemimpin-pemimpin Politik atau rakyat yang tidak bersetuju dengan parti Menteri tanpa perlu dibuktikan kesalahan mereka.


Ops Lalang dan penangkapan pemimpin Reformasi membuktikan perkara berkenaan. Sehingga kini mangsa yang telah bebas tidak tahu apakah kesalahan mereka hingga terpaksa merengkok dalam penjara dan disiksa. Pihak Polis juga hingga kini gagal membuktikan kesalahan mereka dan jelas segala pertuduhan yang dibuat semasa penahanan adalah fitnah.


PAS mendesak Kerajaan mendakwa 10 tahan ini bersama tahanan-tahanan sedia ada dimahkamah dan mansuhkan akta ISA.


Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat



3. Projek Runtuh Di Terengganu Bukti Wang Ehsan Tidak Berkat, Kelantan Jangan Terima


Parti Islam Se-Malaysia (PAS),  menyelar tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang masih enggan membayar wang royalti Kepada Kelantan tetapi memaksa Kelantan menerima wang ehsan bernilai RM 20 juta pada Mac ini.


Pengakuan Kerajaan BN bahawa memang terdapat pengeluaran minyak di Blok PM302 iaitu kawasan perairan bertindih Kelantan-Thailand membuktikan bahawa penafian mereka selama ini adalah satu pembohongan. Dakwaan bahawa wang ehsan diberikan kerana hasil yang diperolehi di Blok PM302 menguatkan lagi bukti ketidak jujuran Mustapha Mohamad kepada rakyat Kelantan.


BN juga menafikan hak Kelantan terhadap hasil minyak bagi telaga di Pelantar Bintang yang bertindih dengan negeri Terengganu. Walaupun pakar Geologi telah mengesahkan ianya hak Kelantan, tetapi demi kerakusan mereka, BN sanggup berbohong.


Dalam mana-mana uruniaga dan perjanjian dengan Petronas, terma 'wang ehsan' tidak pernah wujud. Hanya terma 'wang royalti' sahaja yang ada. Kerajaan BN culas dalam hal ini dan mengunakan 'terma 'wang ehsan' seolah-olah Kelantan meminta sedekah walhal sumber minyak itu keluar dari perut bumi Kelantan.


PAS yakin jika wang ehsan ini dibawa masuk ke Kelantan, ianya adalah sumber yang tidak berkat kerana diberikan atas niat politik iaitu mahu meraih undi Kelantan kepada BN. 


Wang yang tidak berkat ini jika digunakan akan memberikan mudarat dimasa hadapan. Kita sudah melihat contoh yang nyata terhadap apa yang berlaku di Terengganu setelah menerima wang ehsan. Pelbagai projek dijalankan, tetapi hasilnya yang kita lihat pada tahun lepas sahaja amat memeranjatkan.


Beberapa bangunan yang dibina mengunakan wang ehsan telah runtuh antaranya, Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, Masjid Kampung Puteh, Dewan Sek.Men. Wakaf Tapai dan menara telekomunkasi di Besut dilaporkan tumbang. 


Pusat Akuatik di Batu Burok, Kuala Terengganu pula bocor dan Siling Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Seberang Takir runtuh.


Inilah  bukti hasil ketidakikhlasan wang ehsan, dimana kerajaan negeri kini terpaksa menangung kerugian yang besar dan duit rakyat hangus begitu sahaja.


PAS berharap tragedi ini menjadi peringatan kepada rakyat Kelantan dan seluruh negara bahawa Allah juga tidak redha dengan ketidakikhlasan Umno-BN yang sanggup menafikan hak rakyat demi untuk kepentingan mereka.


PAS menyeru Ahli dan penyokong untuk bersama-sama bersolat hajat diseluruh negara malam ini dan berharap agar Kelantan mendapat hak mereka.



Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat



No comments:

Post a Comment