TRELLER JELAJAH

TRELLER JELAJAH

Undilah PAS

Undilah PAS

Tuesday, April 6, 2010

Kalah kalau pilihanraya sekarang? Nizar: PR menang dulu, kini dan selama-lamanya!

Lim Hong Siang

 
Mantan Menteri Besar Perak, Mohd Nizar Jamaluddin tetap yakin bahawa rakyat di bumi Perak akan memilih Pakatan Rakyat (PR) sebagai kerajaan negeri seandainya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan pilihan raya diadakan sekarang.
Sambil menolak analisis soal selidik yang dijalankan oleh ILHAM centre, yang menjangkakan PR akan kalah jikalau pilihan raya diadakan sekarang, berdasarkan perhitungan bahawa sokongan Melayu terhadap PR akan menurun pada kadar 7–10 %, Nizar (gambar kanan) mendakwa rakyat di bumi Perak telah menjadi "buta warna kulit".
"Saya perlu mengaku bahawa saya tidak dapat menyetujui sepenuhnya analisis tersebut," sebelum beliau menyambung, "Kalau itulah analisisnya, maka Zambry (MB BN) adalah orang pertama yang ketawa dan ketawa dan mengadakan pilihan raya sekarang kerana beliau akan menang sekarang juga."
"Tetapi, saudara-saudara, kita cabar dia.  Kalau anda (Zambry/BN) rasa anda akan menang dengan apa-apa cara juga, adakan pilihan raya sekarang dan tengok siapa yang akan menang!"
Malah, beliau sempat mengusik parti musuh politiknya, dengan meminjam slogan UMNO, "Kami menyatakan, kalau ada pilihan raya hari ini, besok, semalam dan bila-bila...dulu, kini dan selama-lamanya, kita Insyaallah akan menang!"
Hampir 40% setuju BN sah kerajaan negeri di Perak
Kata-kata bekas MB Perak dalam forum berjudul "Pencabulan Amalan Federalisme: Implikasi kepada Institusi Perundangan di Malaysia" disambut dengan tepukan gemuruh daripada kira-kira 600 orang hadirin.  Forum ini dianjurkan oleh Free Public Forum (FPF) bersama ILHAM Centre pada pada 1 April, dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya, bertempat di Auditorium Dewan Sivik MBPJ.
Selain Nizar Jamaluddin yang juga ahli parlimen Bukit Gantang, ahli panelis yang dibariskan termasuklah pakar perlembagaan Professor Abdul Aziz Bari, pakar perundangan Sulaiman Abdullah dan ahli parlimen Subang-PKR Sivarasah Rasiah.  Bagaimanapun, dua orang panelis yang dijadualkan sebelum ini, iaitu bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim dan EXCO Kelantan, Husam Musa gagal hadir.
Sebelum forum dimulakan, Pengarah Urusan ILHAM Centre, Mohd Azlan bin Zainal membentangkan laporan soal selidik yang dijalankan oleh ILHAM, berjudul Tinjauan Lapangan terhadap Isu-isu Semasa di Perak.  Tinjauan ini dijalankan antara 1 hingga 4 Mac 2010, iaitu selepas panel lima hakim di Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan bahawa Zambry Abdul Kadir dari UMNO-BN adalah Menteri Besar Perak yang sah.  Tinjauan terhadap 1,031 orang responden ini mengambil tempat di kawasan DUN Kuala Sepetang, dengan struktur penduduk mengikut kaum Melayu 59.96%, Cina 31.67%, India 8.34%, dan lain-lain 0.03%.
Menurut Mohd Azlan, tinjauan ini menunjukkan 39.2% responden bersetuju bahawa Kerajaan BN Perak adalah sah di sisi Undang-Undang Tubuh Perak, sementara 31.0% tidak bersetuju, dan 26.8% tidak pasti.  Di samping itu, 37.0% responden bersetuju dengan keputusan mahkamah berkaitan dengan pengesahan Zambry Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah, namun pandangan ini tidak dipersetujui oleh 30.0% yang lain dan 28% yang tidak pasti.
PR bakal tewas kalau pilihan raya diadakan
Apa yang menarik, tinjauan tersebut menunjukkan pola di mana responden yang semakin lanjut usia dan semakin rendah taraf pendidikannya, didapati lebih cenderung untuk menyetujui bahawa BN dan Zambry adalah kerajaan negeri dan MB yang sah di Perak.
Malah, ketika diajukan soalan "sekiranya pilihan raya diadakan semula seluruh Perak, jangkaan Parti akan menang", hasil tinjauan masih memihak kepada BN dengan peratusan sebanyak 55.3%, berbanding kepada PR 48.5% dan hanya 11.2% menyatakan tidak pasti.
Ketika merumuskan hasil tinjauan tersebut, ILHAM menjangkakan sokongan kaum Cina kepada PR Perak akan kekal di Perak, tetapi sokongan daripada kaum Melayu akan menurun 7–10 %, dan kaum India pula bergantung kepada isu.
Semasa mengulas analisis tersebut, Nizar Jamaluddin berkata, "...tetapi di Perak, analisis itu mungkin tidak berkesan lagi di Perak.  Kerana kami tidak lagi membezakan antara kami dengan Melayu, Cina, India...dalam analisis kita.  Itu telah berlalu."
"Merdeka Center dan NGO lain boleh menganalisa berdasarkan faktor-faktor tersebut," Nizar bersambung, "Tapi biar saya beritahu anda dari hati saya, ia tidak berlaku begitu di Perak lagi.  Untuk satu dan setengah tahun yang lalu, 11 bulan semasa kita memegang tampuk kuasa, Alhamdulillah kami mampu menghakis perasaan perkauman di Perak.  Kita adalah buta warna dalam kulit."
"Dasar Apartheid" di Perak?
Biarpun dipertikaikan sama ada hujah di atas berpijak pada bumi, Nizar tetap mempertahankan kenyataan beliau dengan mengambil contoh bagaimana beliau sebagai calon bukan Cina dari PAS berjaya meraih sokongan 85% pengundi Cina di PRK Bukit Gantang, sokongan kemuncak dari komuniti Cina yang belum dicapai oleh pemimpin Cina dari DAP mahupun MCA.  Tidak cukup dengan itu, beliau menggambarkan bagaimana buat pertama kalinya pimpinan DAP dan PKR yang bukan Melayu mula membaca al-Quran dalam DUN.
"Tak pernah ada dalam sejarah negeri Perak, bahawa kehormatan kami antara satu kaum dengan kaum yang lain paling tinggi yang pernah dicapai dalam zaman Barisan Nasional," katanya.
Nizar Jamaluddin yang kini menjadi Ketua Pembangkang dalam DUN Perak menjelaskan kepada hadirin mengapa ADUN PR terpaksa keluar dari DUN Perak secara beramai-ramai dalam persidangan mesyuarat DUN Perak, baru-baru ini.
Nizar mendakwa bahawa PR "mahu jadi pembangkang yang cukup-cukup kuat, untuk menjadikan persidangan itu berjalan licin dan lancar", namun berdepan dengan pencabulan hak, apabila pembesar suara ADUN PR ditutup, malah media tidak dibenarkan masuk ke dewan untuk mengikuti persidangan yang mengambil masa hanya lima jam ini, kecuali beberapa media milikan UMNO seperti TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan sebagainya.
Beliau bertanya, "Bolehkah anda bayangkan?  Nak masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri Perak, Barisan Nasional masuk pukul 9:30 (pagi), ikut pintu A, pakai lif nombor tiga.  Bukan hanya Afrika Selatan ada (dasar) Apartheid, Ipoh ada.  Pakatan Rakyat masuk ikut pintu B, pakai lif nombor enam, masuk pukul 9:45 (pagi).  Nak masuk macam masuk kapal terbang, ada scanner, ada x-ray,...ada telefon, rampas; ada video cam, rampas..."
Tolak Ketuanan Melayu
Sebelum mengakhiri ucapannya, Nizar Jamaluddin menyeru agar konsep "Ketuanan Melayu" ditolak.  Beliau membacakan ayat dari Quran, menterjemahkannya, "Wahai orang-orang yang beriman, kamu hendaklah laksanakan kebenaran sentiasa.  Dan kamu mestilah jadi saksi yang adil, dan janganlah sikap kamu benci kepada kaum dan bangsa lain menjadikan kamu tidak adil.  Berlaku adilah kau, sesungguhnya ia cukup rapat dengan ketaqwaan dan bertaqwalah kamu sesungguhnya Allah maha mengetahui dalam perkhabarannya berkenaan apa yang kamu lakukan..."
"Kita hari ini sewajarnya membuangkan (konsep) 'Ketuanan Melayu' yang diuar-uar dan diasak oleh UMNO-Barisan Nasional," tegasnya, "I repeat (Saya mengulangi), mengapa kita jadi hari ini, kerana sindrom Ketuanan Melayu tanpa kita sedari menular di hati sanubari kita."
Malah, Nizar mengingatkan bahawa tiada kalimah Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.  Beliau berkata, "UMNO ingatkan, Malaysia bapak dia punya!  Hari ini Pakatan Rakyat, kita menyeru seluruh rakyat, untuk membantu kita dalam perarakan ke Putrajaya.  Kita kini dalam perarakan ke Putrajaya, menjujung banner Ketuanan Rakyat!"
Sulaiman: Nizar tetap MB sah
Sementara itu, meskipun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Zambry Abdul Kadir sebagai MB yang sah pada 9 Februari yang lalu, namun dalam hati pengamal undang-undang, Sulaiman Abdullah, Nizar Jamaluddin kekal sebagai MB Perak yang sah.
Penghakiman ini membuatkan beliau "teringat peristiwa yang berlaku berabad-abad dahulu".  Sulaiman (gambar kiri) berkata, "...Galileo Galilei, iaitu ahli astronomi dan fizik, yang mengatakan bahawa bumi kita mengelilingi matahari.  Tetapi pihak berkuasa berpendapat bahawa matahari yang mengelilingi bumi kita, dan bumi kita tidak bergerak.  Jadi, apabila Galileo tidak bersetuju menarik balik pendapat dia, mereka cuba membakarkan dia sehinggalah dia setuju dengan pendapat palsu mereka."
"Tetapi semasa dia dikeluarkan dari api itu, dia berbisik juga, 'tetapi ia(bumi) bergerak', bumi kita yang bergerak," katanya.
Sulaiman menerima tepukan gemuruh dari bawah pentas, apabila dengan nada yang tenang mengatakan, "Jadi, beberapa mahkamah, beberapa pembesar negara, boleh mengatakan bahawa di sisi undang-undang, Dato Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin bukan Menteri Besar Perak.  Tetapi dalam hati nurani saya, menurut undang-undang Tuhan, undang-undang manusia yang baik, saya percaya bahawa beliau tetap Menteri Besar Perak yang sah!"
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu. Gambar dari Ummu Asiah.

No comments:

Post a Comment