Sidang hari pertama hanya mendengar titah Tuanku. Hari-hari berikutnya adalah peluang terbaik untuk setiap Adun berbahas mengenai apa sahaja perkara mengikut Aturan Mesyuarat termasuk perbahasan titah Tuanku. Perbahasan titah Tuanku adalah perdebatan terbaik bagi semua Adun berhujjah dalam apa sahaja isu termasuk isu-isu berkaitan rampasan kuasa. Mereka boleh berucap dengan hujjah masing-masing.
Selain itu, Adun BN boleh mendedahkan apa sahaja kelemahan,kepincangan, salah guna kuasa atau apa sahaja yang sering didakwa oleh UMNO BN ketika PR memerintah negeri Perak. Adun-adun PR akan menjawab semuanya dalam ucapan perbahasa mereka,selain mendedahkan pula segala kepincangan dan salah guna kuasa UMNO BN. Walau bagaimanapun isu asas yang mesti menjadi fokus utama perbahasan ialah kebajikan dan kepentingan rakyat.
Adun PR memulakan sidang hari ini dengan cara yang betul. YB Pantai Remis mengambil kesempatan dengan menggunakan 'point of order' lalu membacakan beberapa perkara dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri. YB Pantai Remis berhujjah Ganesan bukan Speaker yang sah berdasarkan 6 hujjah yang dikemukakan. Tetapi Ganesan tidak memberi peluang supaya perdebatan dibuka dalam isu perlantikan Speaker. Dewan Negeri adalah platform kedua pihak berhujjah, sekiranya ia diberi liputan yang adil, rakyat akan menilai hujjah siapa yang tepat dan benar.
Begitu juga soalan-soalan lisan yang dikemukakan oleh Adun PR yang menyentuh isu-isu berkaitan perlantikan Speaker mengikut Perintah Tetap Dewan dan juga Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Sepatutnya soalan itu dijawab, bukan ditolak. Penasihat Undang-undang Negeri boleh menyediakan jawapan, berdasarkan jawapan yang diberikan, Adun PR boleh mencabar dengan menggunakan peluang mengajukan soalan tambahan.
Sidang DUN merupakan ruang terbaik bagi semua pihak bersuara di atas ketidak puashatian rakyat bagi menyuarakannya melalui Adun mereka. Peristiwa rampasan kuasa di Perak adalah antara yang rakyat tidak puashati. Adun PR boleh berhujjah mempertikaikan tindakan rampasan kuasa, pihak BN pula boleh berhujjah juga bagi mengesahkan tindakan mereka. Inilah demokrasi hiudp dan yang sebenar.
Namun demokrasi dimatikan oleh UMNO BN, mereka tidak berani menghidupkan demokrasi kerana mereka juga tahu, demokrasi melalui hujjah tidak akan mampu dipatahkan oleh mereka, justeru itu mereka tidak gunakan hujjah sebaliknya menyalahgunakan kuasa untuk mempertahankan tindakan mereka.
Sidang dewan ditangguhkan hari ini dengan tidak ada perbahasan menyeluruh titah Tuanku yang diambil bahagian oleh semua Adun. Tindakan ini memberi gambaran seolah-olah titah Tuanku tidak dihargai dan dihormati, apabila Tuanku menyarankan banyak perkara dalam titahnya semalam, sudah tentu ia perlu dibahaskan secara positif oleh semua pihak. Dasar dan polisi kerajaan juga disentuh oleh Tuanku, tetapi Adun-adun tidak diberi peluang bagi mengulas dan mengupas. Adun pembangkang sudah tentu akan berbahas mengikut perspektif pembangkang yang luas.
Inilah padahnya apabila kerajaan halal diambil dengan cara yang haram kemudian tindakannya minta dihalalkan melalui mahkamah. Ini seumpama perbuatan mencuri ayam, kemudian bila ayam yang dicuri itu mahu dimakan, ia disembelih mengikut hukum syarak supaya jadi halal.
Apabila perkara asas sudah tidak betul, maka ia mengundang seribu kepincangan. Lihat sahaja Aturan Mesyuarat dalam sidang dewan, Speaker haram Ganesan menyusun jadual perjalanan sidang juga tidak betul. Adun PR cuba memperbetulkannya, tetapi dengan bodoh sombong Ganesan menolak. Dalam Aturan Mesyuarat Perbahasan Titah Tuanku hendaklah didahulukan sebelum pembentangan Rang Undang-undang, tetapi itu berlaku. Persidangan pula tidak ditetapkan berapa hari, sedangkan PR mencadangkan supaya sidang DUN Perak diadakan 4 - 5 hari bagi membolehkan semua aspek dibincangkan dalam dewan.
Sebenarnya sidang yang dibuat hari ini diadakan dalam keadaan UMNO BN bimbang dan takut. Mereka tidak berani berdepan dengan Adun PR melalui hujjah. Polis pula diperkudakan oleh mereka. Sehari sebelum sidang diadakan, PR mengajak untuk berbincang dengan MB UMNO BN supaya persidangan yang akan berlangsung nanti dalam keadaan yang baik dan adil serta tidak berlaku kekecohan. Zambry menolak dengan sombong dan angkuh.
Sidang tamat hari kini dalam keadaan rakyat tidak tahu apa-apa.
No comments:
Post a Comment