GOMBAK – Gerakan Bela Rakyat (Bela) menyarankan kerajaan supaya mengkaji semula polisi insurans yang dikenakan kepada pemandu kenderaan bermotor berusia 20 tahun ke atas kerana ia membebankan golongan berpendapatan rendah.
Pengerusi Gerakan Bela Rakyat, Salahuddin Ayub berkata, golongan berkenaan pasti mempunyai masalah dari segi kewangan kerana mereka boleh dilabelkan sebagai golongan sederhana dan memerlukan pertolongan.
“Kenaikan harga sebanyak 300 peratus ini akan memberi tekanan kepada pemandu-pemandu yang kurang berkemampuan. Lebih dirisaukan, kumpulan-kumpulan yang merungut mengenai dasar polisi ini lebih banyak daripada mangsa saman ekor.
“Perkara ini amat membebankan rakyat, ditambah pula proses permohonan insurans yang menyusahkan, rentetan daripada keadaan ini akan memungkinkan berlakunya pemalsuan insurans dan gejala rasuah,” katanya dalam sidang media di Restoran Taqhwa, Gombak, semalam.
Menurutnya, beliau juga akan mengadakan persidangan meja bulat bagi mendapatkan pandangan daripada pihak sepatutnya dalam tempoh dua minggu lagi. Antara wakil yang akan dipanggil untuk menyertai persidangan ini adalah wakil Persatuan Insurans Am Malaysia, wakil Persatuan Pemilik Kenderaan Bermotor dan Malaysia Insurans Institut.
Salahuddin berkata, tujuan utama persidangan itu adalah bagi membentuk satu kertas kerja dan akan diserahkan kepada kerajaan, membolehkan pihak kerajaan menetapkan satu polisi yang jelas untuk mengatasi masalah ini.
“Kerajaan perlu mengambil berat dan menyusun dasar serta mekanisme terbaik bagi membela nasib golongan sederhana.
“Perlu diingatkan, rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan bayaran mahal dan disebabkan keadaan ini mereka cuba mencari pilihan yang tidak relevan dengan sepatutnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment