TRELLER JELAJAH

TRELLER JELAJAH

Undilah PAS

Undilah PAS

Tuesday, July 20, 2010

ISA: Malaysia cenderung bantu Amerika lawan Islam

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) membantah keras penahanan terbaru seorang pelajar kejuruteraan, Mohammad Fadzullah Abdul Razak di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki pengganas dan dituduh merekrut pelajar lain untuk kegiatan pengganas.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan berkata, penahanan tersebut seolah-olah membuktikan kecenderungan Kerajaan Malaysia dalam membantu Amerika untuk menentang Islam atas alasan memerangi keganasan.

Katanya, Malaysia sudah terperangkap dengan agenda Amerika mewujudkan Islamofobia.

"Dengan pendekatan menangkap mereka yang kononnya disyaki pengganas dan mengumumkan kenyataan-kenyataan yang kabur tanpa bukti yang jelas, ternyata menunjukkan Malaysia terperangkap dengan permainan hegemoni Amerika untuk membesar-besarkan sentimen Islamofobia," katanya.

Teras juga mendakwa terdapat siri pengumuman yang didedahkan secara sengaja menjelang Persidangan Agensi Perisik Amerika Syarikat (FBI NAA) untuk melakukan pelbagai kegiatan mendalangi operasi penculikan, penggulingan dan keganasan ke atas mana-mana negara yang tidak disukainya.

Persidangan itu berlangsung di ibu negara bermula kelmarin hingga 24 Julai ini.

"Adalah mengejutkan kami bagaimana Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bekerjasama, malah pegawai-pegawai kanannya dilatih oleh FBI sejak 1964 lagi sedangkan FBI mempunyai rekod berfungsi untuk merencana dan melaksanakan pelbagai operasi espionaj di seluruh dunia," katanya lagi.

Sehubungan itu, Teras tegasnya menuntut kerajaan Malaysia menghentikan polisi bekerjasama dengan US untuk melaksanakan kempen Islamofobia kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

"Mendakwa ada kumpulan akan menyerang rumah ibadat di Pulau Pinang dan Selangor hanya suatu alasan untuk mewujudkan ketakutan dan saling curiga-mencurigai antara penganut agama di negara ini dan sebagai tindakan lanjut menangkap orang yang dianggap teroris untuk memuaskan hati US," tegasnya.

Beliau juga menegaskan, tindakan menahan individu hanya dengan syak dan tanpa bukti yang jelas adalah kaedah yang telah diguna oleh agensi perisik Amerika seperti FBI dan CIA ke atas sesiapa yang tidak dianggap musuh oleh US.

"Teras menyatakan secara tegas bahawa jika Malaysia terus menjalankan peranannya bersekongkol dengan Amerika dan kuasa barat yang lain untuk menahan sesiapa sahaja tanpa bukti dan tidak mendakwa mereka di mahkamah terbuka , maka jelas Malaysia kini berada dalam cengkaman hegemoni barat untuk menyerang Islam," tegasnya lagi.

Fadzlullah, 28, ditahan di Sungai Buluh, Selangor pada Khamis lalu sekitar jam 11 malam oleh seorang pegawai polis berpakaian seragam serta 14 pemuda berpakaian biasa yang dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman.

Polis hanya mendakwa beliau mengunakan kedudukannya sebagai guru agama untuk merekrut pelajar menjadi ahli Jemaah Islamiah (JI).

Akhbar melaporkan kononnya Fadzlullah ada kaitan dengan seorang pendakwah dari Syria, Aiman Dakak dan seorang guru dari Malaysia, Azzahari Murad.

Pada Januari tahun ini, Aiman ditahan dengan sembilan orang lagi atas alasan disyaki pengganas, manakala Azzahari masih ditahan di bawah undang-undang pencegahan.

No comments:

Post a Comment