KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN "HAPUSKAN SEGERA UNDI POS" (08 Julai 2010 / 25 Rejab 1431) Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan cadangan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang mahu menghapuskan kaedah undi pos dalam pilihanraya. DPPWP bersetuju dengan pandangan beliau bahawa undi pos didapati menyusahkan dan mudah terdedah kepada kesilapan, sekali gus menyebabkan lebih banyak undi rosak, termasuk terlalu teknikal, menyusahkan, menyulitkan, serta rigid. Namun demikian, DPPWP tidak bersetuju supaya undi pos digantikan dengan kaedah ‘undi awal’ seperti yang dicadangkan oleh Tan Sri Abdul Aziz. Bagi DPPWP, ‘undi awal’ tidak menyelesaikan masalah kepada potensi untuk berlaku penyelewengan dan penipuan dalam pilihanraya. Selama ini, dalam mana-mana pilihanraya sama ada pilihanraya umum atau pilihanraya kecil pasti akan berlaku rungutan serta prejudis pengundi terhadap berlakunya penyelewengan dalam pilihanraya. Ini termasuk jumlah undi rosak, undi yang tidak dikembalikan, kertas undi yang diambil dan ditanda oleh orang lain, dan pelbagai lagi isu. Undi pos dianggap sebagai undi penentu dalam sesuatu pilihanraya, dan biasanya undi pos pasti akan memihak kepada calon Barisan Nasional dengan jumlah majoriti yang besar. Yang lebih mengejutkan, kebanyakan trend pengundi pos, lebih 80% mengundi calon Barisan Nasional. DPPWP tidak mempertikaikan kehendak pengundi untuk mengundi mana-mana calon yang bertanding dalam pilihanraya, tetapi seakan suatu tanda bahawa tidak berlaku ketelusan dalam sistem undi pos ini dan dalam menentukan kebebasan pengundi pos untuk mengundi mana-mana calon yang mereka kehendaki. Tambahan pula dalam suasana aman di negara ini sekarang, apakah perlunya undi pos ini dikekalkan kerana setiap petugas keselamatan mampu untuk turun mengundi tanpa apa-apa halangan. Justeru, adalah wajar undi pos dihapuskan dan digantikan dengan sistem pengundian biasa. Manakala ‘undi awal’ pula bukanlah suatu alternatif yang perlu untuk menggantikan undi pos. Apakah jaminan undi awal adalah telus dan lebih baik dari undi pos serta jaminan tidak akan berlakunya penipuan sepertimana undi pos. DPPWP dengan ini mendesak agar undi pos dihapuskan segera bagi membuktikan ketelusan perjalanan pilihanraya serta mengembalikan kredibiliti SPR di mata rakyat. FADHIL OSMAN Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan |
TRELLER JELAJAH
Undilah PAS
Saturday, July 10, 2010
Hapuskan segera Undi Pos
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment