GREENTOWN – Seramai 50 pembanci yang bertugas secara kontrak di kawasan Manjoi, Jelapang dan Taman Meru mendakwa belum menerima bayaran gaji sejak memulakan tugas dari 28 Jun hingga 22 Ogos lalu.
Nazirah Mohamad Sham, 23, mendakwa, dia dan rakan sepatutnya menerima bayaran setiap 5 hari bulan sebagaimana dijanjikan dengan kadar RM35.73 sehari termasuk Elaun Sara Hidup (Cola) dan perkhidmatan.
“Ketika menerima tawaran bekerja sebagai pembanci secara sambilan ini, kami hanya diberikan Dokumen 37 Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 yang mencatatkan jumlah gaji harian serta elaun yang patut dibayar.
“Bagaimanapun, tarikh bila bayaran gaji akan dibuat tidak dicatatkan dalam dokumen itu, sebaliknya pihak berkenaan hanya memberikan janji lisan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Nazirah berkata, dia dan rakan yang bekerja sebagai pembanci sudah bertemu dengan Penghulu, Penyelia dan Penolong Pesuruhjaya Banci Kinta pada 11 Ogos lalu untuk menyatakan masalah pembayaran gaji.
“Dalam perjumpaan itu, kami dijanjikan bahawa empat atau lima hari lagi kami akan menerima gaji, tetapi sehingga kini hanya tinggal janji.
“Sebelum ini, kami pernah berjumpa dengan wakil Jabatan Akauntan Negara Malaysia Cawangan Perak (JANM) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), mereka mendakwa tidak menerima sebarang baucer pembayaran gaji untuk dibayar kepada pembanci,” katanya.
Seorang lagi pembanci, Mohd Faizal Abu Basah, 39, berkata, dia menghubungi rakannya di Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor berhubung pembayaran gaji.
“Mereka memaklumkan sudah menerima bayaran masing-masing. Macam mana kami di sini belum menerima satu sen pun,” katanya.
Mohd Faizal berkata, kebanyakan pembanci hanya berharap dengan wang gaji itu memandangkan mereka yang memikul tugas itu adalah pelajar lepasan sekolah dan menganggur.
Dia berharap Jabatan Perangkaan Negeri dapat menyelesaikan masalah itu sebelum sambutan Aidilfitri.
No comments:
Post a Comment