TRELLER JELAJAH

TRELLER JELAJAH

Undilah PAS

Undilah PAS

Tuesday, September 28, 2010

CARTOON-O-PHOBIA: Pelancaran buku tanpa buku dan pengarang

CARTOON-O-PHOBIA: Pelancaran buku tanpa buku dan pengarang

Lim Hong Siang |

 
Apa yang berlaku hanya membuktikan tajuk bukunya, CARTOON-O-PHOBIA.  Ia seolah-olah kartun, apabila pelancaran sesebuah buku kartun berlangsung tanpa kehadiran pengarang dan buku itu.  Zunar ditangkap empat jam sebelum koleksi kartun ketiganya dilancarkan, malah dipindahkan sebanyak lima kali dari IPD ke IPD dalam tempoh tujuh jam.
Isteri Zunar, Fazlina Rosley memperbarui status Facebook-nya pada kira-kira jam 1 pagi hari ini (25 September), yang memaklumkan bahawa suaminya kini berada di balai polis KLIA, ibu pejabat polis daerah kelima selepas tangkapannya pada jam 4 petang, semalam. 【Zunar ditangkap sebelum buku dilancar
Biarpun sempat mempromosi buku ini, CARTOON-O-PHOBIA, sebelum mengakhiri ucapannya, Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan berkata, "Kami tak ada buku di sini, kami tahu polis sedang mencarinya (ketawa).  Bagaimanapun, tempah satu naskah hari ini, tempah beberapa naskah, beri kepada kawan kamu, sebelum ia diharamkan."
Bukan sahaja pejabat Zunar diserbu pada petang tadi, malah pencetaknya di Puchong dan pengedarnya, Gerak Budaya turut didatangi polis, menurut Steven Gan.  "Saya tidak tahu di mana buku itu...(tapi) dengan cara apa pun (by hook or by crook), kamu akan dapat salinan kamu (seandainya menempah pada malam ini)," katanya.
Kata-katanya menggelakkan kira-kira 150 orang yang hadir untuk menghangatkan suasana dalam majlis pelancaran buku CARTOON-O-PHOBIA di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (SCAH), semalam.  Ramai aktivis sosial dan orang awam tampil untuk memberi sokongan, walaupun tiada buku dijual dalam majlis pelancaran buku ini.
Ia seolah-olah kartun untuk haramkan buku
"Ia jadi seolah-olah kartun untuk mengharamkan buku," kata Mohd. Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak yang hadir untuk melancarkan buku ini.  Beliau mengeluh bahawa kita kini hidup dalam suasana 30 atau 40 tahun terbelakang, kerana pengharaman buku hanya berlaku pada 20 tahun yang lalu.
"Kita tak pernah dengar, di negara Barat, kartun diharamkan.  Tak pernah sepanjang hidup saya nampak, apapun bentuk penyampaian kartunis diharamkan.  Tak pernah sebelum ini..." kata Nizar Jamaluddin (gambar kiri).
Beliau melanjutkan bahawa pengharaman buku tidak membawa makna, kerana pada zaman terkini, maklumat boleh didapati dengan mudah dari sumber lain, misalnya internet.  Justeru itu, pengharaman buku hanya akan mencungkil minat orang ramai untuk mengetahui kandungan yang cuba diharamkan itu.
Pemimpin PAS ini sempat menyindir sepupu Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Dalam Negeri, kerana turut menyumbang untuk mempromosikan buku Zunar.  Malah, Nizar Jamaluddin mempersendakan kerajaan Barisan Nasional (BN), kerana tindak tanduk ini mencerminkan "Cartoon-O-Phobia", bahkan Nizar mencadangkan supaya Wikipedia memberi definisi kepada istilah baru ciptaan tanah air ini.
Nizar Jamaluddin yang terpilih sebagai ahli parlimen dalam PRK Bukit Gantang pada April 2009 mengulas bagaimana hasil karya Zunar memupuk kesedaran generasi muda sejak pergerakan reformasi pada tahun 1998.  Beliau mengambil kesempatan untuk mengungkit apa yang berlaku di Perak, yang disifatkannya sebagai "kartun", kerana tidak masuk akal.
Malah, beliau sempat melontarkan kritikannya terhadap UMNO-BN, yang disifatkannya "sudah sampai akhir hayat".  "Hayatnya tinggal nyawa-nyawa ikan", Nizar mengambil contoh isu ahli parlimen Serdang-DAP Teo Nie Ching dikecam UMNO kerana masuk surau, kritikan bekas PM Mahahir Mohamad terhadap dirinya dan sebagainya, untuk menyatakan bahawa semua serangan UMNO-BN ini akhirnya akan menikam diri.
Cara Zunar menunjukkan jari hantu
Dalam ucapannya, Steven Gan memuji sikap Zunar yang tidak mahu mengalah.  Beliau berkata, "Mereka (kerajaan) telah mengharamkan tiga bukunya, nampaknya buku ini akan diharamkan kemudian.  Ini bukunya keempat yang bakal diharamkan.  Buku (baru) ini diterbitkan dalam masa beberapa bulan selepas bukunya diharamkan.  Ini merupakan cara Zunar untuk menunjukkan jari hantunya kepada autoriti, saya tak tahu..."
Malah, Steven Gan (gambar kiri) cuba membandingkan Zunar dengan seorang lagi kartunis yang terkemuka, Lat.  "...Zunar bukan Lat, beliau lebih hebat (better) daripada Lat," penilaian Steven Gan ini disambut dengan tepukan gemuruh.
Beliau lantas menjelaskan bahawa ia tidak bererti hilang hormat terhadap Lat, tetapi Lat dilihat lebih selesa dalam zon selamat-nya, sementara Zunar lebih berani untuk mengambil risiko, dan kadang-kala "tanpa jaring keselamatan di bawahnya".
Beliau yang sudah sekian lama berkecimpung dalam bidang media berkata, "Mungkin ia sesuatu perkara kecil untuk kamu letak Najib atau Mahathir di muka depan (buku).  Tetapi apabila kamu meletak seseorang yang nampak macam Rosmah (isteri PM Najib) di depan muka, kamu cari pasal sebenarnya."
sms daripada Zunar
Fazlina Rosley (gambar kanan) yang hadir ke majlis pelancaran buku memulakan ucapannya dengan merakamkan penghargaan kepada kawan, peminat dan penyokong Zunar.  "...Apalah kartun kan?  Kalau anak kita tanya, bapa kenapa kartunis, kan?  Macam rockers tu lagi rock.  Jadi, tanpa kalian semua, tanpa sokongan padu, career kartunis tu tidak dipandang tinggilah."
Fazlina Rosley membacakan sms daripada Zunar yang dihantar selepas ditangkap, "Tangkapan ini tidak akan mengubah pendirian saya untuk membongkar penyelewengan dan korupsi kerajaan.  Malah tindakan ini mengesahkan tajuk buku bahawa kerajaan takut dengan kartun.  Mereka boleh kurung badan saya, tetapi mereka tak boleh kurung otak saya.  Saya bersedia tukar dari comic strip ke prison strip."
Sementara itu, kira-kira 20 orang polis mengawal di pintu masuk SCAH, malah dikatakan cuba menyekat kemasukan orang ramai ke dewan itu untuk seketika, sebelum tindakan ini dibantah aktivis sosial, Wong Chin Huat.
Menurut Wong Chin Huat, beliau menyatakan protesnya bagi pihak SCAH atas alasan bahawa sekatan tersebut "akan mengakibatkan pengurangan pendapatan bayaran parking".  Anggota polis yang mengawal di situ akhirnya mengalihkan kon sekatan, dan menafikan bahawa wujudnya sebarang sekatan mahupun halangan.

No comments:

Post a Comment