TRELLER JELAJAH

TRELLER JELAJAH

Undilah PAS

Undilah PAS

Tuesday, December 28, 2010

Dato' Seri Nizar dan isteri menghadiri lima kenduri sabtu lalu.

Dato' Seri Nizar bergambar dengan keluarga dan anak-anak
Allahyarham Cik gu Kamaruddin Awang Teh di Ayer Tawar, Perak.
Kehadiran Dato' Seri Nizar disambut oleh Bekas pesara TLDM, 
Encik Mohamad Nor di Taman Mas, Kg Koh.
Dato' Seri Nizar dan Datin Seri Fatimah Taat
Pasangan penganti bergambar bersama Dato' Seri Nizar
Pengantin menyambut ketibaan tetamu
Pengantin Bersalaman dengan  Dato' Seri Nizar
Ahli silat Pulut

Encik Mohamad Nor sangat gembira menyambut tetamu
Haji Rashidi Turut Gembira
Keluarga Haji Rashidi di Fasa 2H bergambar dengan Dato' Seri Nizar
Pegawai Jurutera Marin TLDM ini melangsungkan perkahwinannya

25 Disember sempena cuti krismas Dato' Seri Nizar dan isterinya Datin Seri Fatimah Taat berkesempatan menghadiri lima jemputan kenduri perkahwinan dalam kawasan Pasir Panjang. Kehadiran Dato' Seri Nizar dan isteri mengembirakan keluarga pengantin kerana dihadiri oleh tetamu istimewa yang merupakan wakil rakyat kesayangan mereka. Dato' Seri Nizar yang mesra sentiasa menemui rakyat dan bertanya khabar berita. Pelbagai masakan dan menu dihidangkan kepada Dato' Seri Nizar. Terima kasih diucapkan kepada semua keluarga pengantin yang menjemputnya. Sekalung doa semoga selamat sejahtera untuk pengantin dan dirahmati allah didunia dan akhirat.

IHTIFAL SERI/ SEMI ATTAALIM DIRASMIKAN OLEH PESURUHJAYA PAS PERAK.

Pesuruhjaraya PAS Perak Ust Abu Bakar Hussain menyampaikan ucapan perasmian di Ihtifal Sekolah Rendah dan Menengah At taalim, Seri Manjung, Perak.
Pelajar-pelajar perempuan Sekolah Rendah Islam At taalim
Pelajar lelaki Sekolah Rendah Islam At taalim.
Persembahan Nasyid
Persembahan Dikir Barat oleh Pelajar Sekolah Rendah Islam At Taalim
 Ustaz Abu Bakar menyampaikan Plak Kecemerlangan
Pelajar perempuan menerima Plak Kecemerangan
Pengarah Sekolah Rendah dan Menengah Islam
At Taalim Seri Manjung, Haji Noh Ahmad, 
menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Abu Bakar Hussain Pesuruhjaya PAS Perak.

25 Dis 2010 Seri Manjung, Perak telah berlangsung hari Ihtifal Tahunan Sekolah Rendah (SERI) dan Menengah (SEMI) Islam At Taalim, Seri Manjung di Dewan SRAR MADAH, Fasa 1A, Seri Manjung. Majlis dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain. Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengarah SERI/SEMI AT TAALIM Hj Noh Ahmad. Ihtifal dimulai dengan bacaan ayat-ayat Al quran oleh pelajar sekolah ini. Pelajar-pelajar sekolah ini juga telah mempersembahkan nyanyian nasyid dan dikir barat dan beberpa persembahan lain. Sekolah ini telah beroperasi lebih dari 13 tahun dan melahirkan pelajar2 yang cemerlang dibidang akademik dan dinniyah. Pelajar-pelajar pertama dari sekolah ini kebanyakkannya telah berada di menara gading dalam segenap lapisan di dalam dan luar negara. Saban tahun ihtifal tahunan ini diadakan dan ibubapa dapat melihat sendiri perkembangan anak-anak mereka dibidang pendidikan.
Dari bangunan yang disewa kini SERI/ SEMI AT TAALIM memiliki bangunan sendiri dengan sumbangan ibu bapa dan orang ramai. Ustaz Abu Bakar telah ucapan perasmian menasihati para pelajar agar terus meningkat usaha menimba ilmu dan berharap kepada ibu bapa janganlah merasa bimbang menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Islam seperti At Taalim. Pihak sekolah juga diseru agar mencari jalan bagaimana untuk mempertingkatkan kualiti ilmu kepada pelajar khususnya pengajian bahasa arab yang menjadi pelajaran teras di sekolah ini. Dalam majlis ihtifal ini Ustaz Abu Bakar telah menyampaikan plak kemerlangan kepada pelajar pelajar yang berjaya dalam pelajaran masing-masing.


Thursday, December 23, 2010

Lantaran Surat Akuan Sumpah Yahudi 4 anggota parlimen digantung




1.Pada 22 April 2010 Nazri telah mengemukakan satu usul untuk merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

2.Surat APCO yang digunakan untuk menjustifikasikan agar Anwar digantung dari Parlimen bertarikh Ogos 19,2010.
 

3.Ketika Nazri terima surat akuan sumpah Robert Shrum,aku pasti Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen belum lagi melihat atau membaca surat akuan sumpah tersebut,namun Nazri dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bertekad untuk rekomen Anwar digantung daripada Parlimen.
 

4.Hari ini tiba2 Nazri mengatakan di mempunyai bukti yang Anwar berbohong. Apa yang jelas ketika Nazri membawa usul untuk merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen surat2 ini tak pernah ada padanya. Jadi selama 4 bulan sebelum surat APCO dikeluarkan Nazri dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen telah sepakat mahu menghukum Anwar salah biar apa sekali terjadi.
 

Kalau Anwar tak akan berjaya dalam mahkamah kangaroo,Anwar juga tak akan berjaya dalam Dewan Rakyat dengan Speaker kangaroo. Speaker kangaroo suka sangat ubah tiang gol ikut rentak kehendak "master"nya di Putrajaya....
 

Seperkara lagi bolehkah kita pasti sama ada surat APCO dan akuan bersumpah Robert M Shrum,seorang banga Yahudi Amerika Syarikat itu sahih lagi benar? Bukankah Najib sanggup bayar RM77 juta kepada syarikat perunding maka sudah pasti APCO dan kuncu2nya akan mempertahankan reputasi mereka, jika tidak hanguslah RM77 juta yang diberikan daripada gomen Najib.
 
Nampaknya UMNO beria2 sanggup terima akuan bersumpah daripada perunding Yahudi APCO sebagai bahan bukti benar,sedangkan akuan sumpah Bala tentang pensabitan Najib dan kaum kroninya dalam pembunuhan Altantuya diketepikan....



Berbaloilah kalau kita katakan 1Malaysia=1Isreal...

Tuesday, December 21, 2010

TEKS UCAPAN PRESIDEN PAS DALAM KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT

Mukaddimah

1. Yang Dihormati Saudara Pengerusi, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), YAB Saudara Lim Guan Eng - Setiausaha Agung DAP – Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Dihormati Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail – Presiden PKR, Seluruh Anggota Kepimpinan PAS – PKR – DAP, YAB Menteri Besar Kelantan – Kedah – Selangor, NGO, para tetamu dalam dan luar negara, Wakil-wakil Kedutaan Asing, Ahli-ahli Yang Berhormat serta seluruh perwakilan dan pemerhati sekalian.

2. Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi berada dalam kesempatan yang sangat bermakna di penghujung tahun 2010, setelah setahun lalu kita sama-sama melakarkan sejarah dengan mengadakan Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di Shah Alam pada bulan Disember 2009.

3. Tentunya Konvensyen Pakatan Rakyat kali kedua ini pula akan menjadi medan kita bermuhasabah, menilai keperluan, menanda aras pencapaian dan menambahbaik tindakan, setelah kita diberikan amanah menguruskan 2 kerajaan di empat buah negeri dan seterusnya memimpin rakyat untuk membuat perubahan di negeri-negeri yang lain, insyaAllah.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Ketetapan Konvensyen Pertama

4. Setahun yang lalu, kita telah sama-sama menerokai dasar bersama yang dipersetujui, dengan rangka matlamat melaksanakan muafakat yang sangat bermakna dalam negara kita ini bagi membebaskan negara dari kemelut yang sangat menekan rakyat dan penuh dengan penyakit di segenap sudut, seterusnya membentuk gagasan alternatif terbaik untuk negara.

5. Maka kita telah mencorakkan dasar bersama yang penting di bawah Muafakat Rakyat iaitu untuk (1) Mengembalikan demokrasi telus dan tulen, (2) Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil, (3) Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan dan (4) Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara.

6. Semua dasar bersama ini akan terus dilaksanakan selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan suatu penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya.

7. Dalam hal ini, PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di mana perubahan kita adalah dalam ruang lingkup undang-undang negara mengambilkira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar. Dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana sahaja di negara kita ini.

8. PAS percaya bahawa kekeliruan terhadap Islam yang adil yang ingin dibawa oleh PAS berlaku kerana contoh dan tafsiran salah terhadap Islam yang ditunjukkan oleh UMNO selama ini, sehingga melahirkan pemimpin yang tidak amanah, dan berkuasa melalui rasuah serta penipuan.

9. PAS percaya bahawa keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia. Kita mesti menyedari bahawa di sana ada perkara yang sama dan berbeza dalam kalangan manusia yang perlu diraikan. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum, dan perpaduan itu mestilah berteraskan rasa saling hormat menghormati dan kenal mengenal di atas sifat kemanusiaan serta dilayan dengan adil, walaupun berbeza agama dan kaum.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [49:13]

10. Kita juga telah bersetuju untuk terus melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan, memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari 5 dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, dan dalam masa yang sama melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

11. Seluruh ketetapan yang sama-sama kita lakarkan dalam konvensyen yang lalu, sebenarnya telah menjawab segala tohmahan jahat dari pihak musuh politik kita bahawa kononnya Pakatan Rakyat adalah golongan yang tidak memahami perlembagaan dan akan menjual rakyat dengan harga yang murah.

12. Hakikatnya, merekalah yang sebenarnya tidak menghormati tonggak demokrasi berparlimen, apabila dengan penuh keangkuhan telah menggunakan kuasa bagi menyingkirkan Ahli Parlimen kita dari Parlimen Malaysia. Apa yang berlaku hingga kini ialah, mereka takut untuk berhujah dan gagal memberikan apa-apa jawapan yang meyakinkan mengenai isu yang diperkatakan. Merekalah sebenarnya yang telah memberikan nama buruk negara ke persada dunia.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persidangan Shah Alam 2010

13. Selain dari itu, kita juga menjadikan persidangan yang dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan Negeri, semuanya dari Negeri Pakatan Rakyat pada 29 November lalu sebagai komitmen kita untuk menambahbaik aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran kerajaan yang kita pimpin.

14. Saya amat berharap agar segala buah fikiran dan perancangan yang begitu baik itu tidak menjadi bahan yang tinggal di atas kertas sahaja, tetapi di berikan kefahaman kepada pegawai pentadbiran kerajaan agar mereka memahami aspirasi kita dan seterusnya melaksanakannya.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Masa Bergerak Ke Depan

15. Hari ini juga kita berhimpun, dengan penegasan yang lebih bermakna, bahawa kita ingin terus melakukan perubahan, di atas prinsip Tahalluf Siyasi, yang menggariskan prinsip kebersamaan kita dengan menekankan persamaan untuk memerangi kezaliman, ketidakadilan serta rasuah tanpa menafikan asas pembentukan negara Malaysia dan struktur masyarakatnya.

16. Pada hari ini juga kita menghasilkan satu dokumen kerja dan sasaran yang ingin kita capai dalam berbagai sudut. Cabaran terbesar kita nanti ialah bagaimana kita menterjemahkan perancangan ini ke dalam bentuk tindakan yang bukan sahaja difahami oleh pelaksana yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan di bawah negeri Pakatan Rakyat, tetapi juga difahami oleh rakyat yang berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat khususnya, dan rakyat dalam negara kita ini umumnya. Rakyat lah nanti yang akan menjadi hakim di atas kesungguhan dan komitmen kita untuk 7 melaksanakan perubahan. Jangan kita sekali-kali membiarkan rakyat menghukum kita dalam pilihanraya umum yang akan datang nanti.

17. Kita juga sedar dan insaf, bahawa perubahan menyeluruh yang diimpikan oleh gagasan Pakatan Rakyat tidaklah mudah dicapai, kerana kita berdepan dengan konsep federalisme sonsang yang dipegang oleh Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional, yang tidak lagi menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam negeri yang telah memilih Pakatan Rakyat.

18. Selain dari itu, kita juga berdepan dengan kekangan pentadbiran yang sudah membarah selama puluhan tahun di bawah Kerajaan BN. Dalam masa yang sama, kita juga dibelenggu dengan kelemahan diri sendiri apabila ada di antara kita yang mula hilang tumpuan, setelah kita mula diserang dari segenap penjuru oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional ini. Kadangkala kita berhadapan dengan perbezaan pandangan dan pendekatan untuk menyelesaikan masalah, dan di sinilah cabaran terbesar kita yang perlu dirungkaikan supaya kita menjadi gagasan terbaik untuk negara ini.

19. Saya menyeru kepada semua para hadirin yang menjadi petugas kepada perubahan dalam negara kita ini, supaya kita tidak sekali-kali tersasar dari tujuan kita untuk melakukan perubahan menyeluruh yang bermakna kepada generasi yang akan datang.

20. Dengan perasaan penuh keikhlasan kita menyedari akan kelemahankelemahan ini, tetapi kita bukanlah seperti komponen musuh yang saling bercakaran sesama sendiri, lalu bertindak menyembunyikan masalah mereka sehingga ianya menjadi seperti ‘api dalam sekam’ yang menunggu masa untuk menjahanamkan negara kita yang tercinta ini. Inilah beza nya pakatan kita dengan mereka, di mana kita berani untuk berdepan, berbincang, berbahas, semuanya dalam semangat yang tulin bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam gagasan kita ini. Inilah yang ingin kita sampaikan kepada rakyat.

21. Perlu kita ingat, bahawa Pakatan kita ini bukan sahaja bergerak untuk menafikan kekebalan pemerintahan Barisan Nasional semata-mata, tetapi adalah untuk melaksanakan perubahan yang adil di mana keharmonian dan keupayaan masyarakat memahaminya di jadikan teras dalam perubahan dalam negara kita ini.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Perlu muhasabah

22. Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negerinegeri Pakatan Rakyat,menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakan pentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu. Berdasarkan maklumat kelemahan kita ini, maka kita perlu bangkit kembali dengan terus melaksanakan penambahbaikan dalam pemerintahan kita 9 dan memperkemaskan jentera parti di negeri-negeri yang belum bersama kita.

Asas perubahan

23. PAS ingin menyatakan bahawa dasar yang ingin kita laksanakan dalam negeri di bawah Pakatan Rakyat perlulah bertitik tolak dari pemahaman bahawa (1) kita membaiki kerosakan yang ada dalam negara kita, (2) kita ingin meletakkan negara dan negeri di atas dasar yang sepatutnya, (3) semuanya dilaksanakan dengan semangat dalam perkara yang menjadi Dasar Bersama kita.

24. Tetapi kita tiada masa yang panjang untuk melakukan semua ini kerana musuh akan sentiasa mencari jalan untuk meruntuhkan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang telah kita sama-sama bina. Negeri yang sama-sama kita bina ini pula tidak akan memberikan sebarang makna dalam politik baru negara kita, sekiranya kita gagal menunjukkan kaedah pemerintahan yang jauh lebih baik dari negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional.

25. Pemerintahan yang lebih baik yang ingin kita capai ialah bukan hanya berkaitan dengan pencapaian ekonomi semata-mata, dan juga bukan hanya mengenai dasar perindustrian serta pelaburan sahaja, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang berselerakan di kiri kanan persekitaran mereka dan dalam masa yang sama jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini.

26. Apa yang kita mahu, bahawa kita perlulah juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita. Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ianya mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negaranegara lain. Kita inginkankerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini.

27. Dalam melaksanakan dasar dalam negeri yang diperintah Pakatan Rakyat secara bersama, maka penting juga untuk kita berhati-hati dengan cuba lebih memahami betapa pentingnya bagi setiap parti untuk menguruskan sensitiviti masyarakat – tanpa perlu untuk kita menongkah kepercayaan agama dan budaya setiap kaum di negara ini. Jangan pula kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan kita.

28. Kegagalan untuk memahami perkara asas ini akan membuka ruang kepada UMNO dan BN untuk menyebarkan dakyah mereka menerusi media massa yang dikawal oleh mereka. Kita akan berada dalam keadaan yang sangat ‘defensive’ untuk melawan kuasa media mereka yang akhirnya membuatkan rakyat terbanyak akan menjadi keliru. Akhirnya kita semua akan rugi.

29. Pendekatan bertahan ini perlulah diubah, dengan kita sendiri menentukan agenda kita bersama rakyat, dan bukan hanya responsif 11 terhadap serangan musuh. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita memasuki fasa seterusnya dalam gerakerja kita, dengan kita menggunakan media kita sendiri yang boleh sampai kepada rakyat. Gerakerja ini perlulah disusun secara bersama di kalangan negeri Pakatan Rakyat, petugas parti dan semua kalangan pengamal media yang bersama dengan kita.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Persediaan Pilihan Raya

30. Belum pun kita sempat melaksanakan amanah dengan sempurna, angin yang bertiup kencang di waktu ini telah memberi gambaran bahawa saat dan ketika untuk kita berdepan dengan Pilihanraya Umum ke 13 detiknya semakin hampir. Suasana sebegini dizahirkan oleh pimpinan utama BN bahawa mereka merasakan semakin selesa dan kononnya rakyat akan kembali bersama mereka.

31. Kepada mereka, marilah kita pertegaskan pada hari ini bahawa kita bukan sahaja komited untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri ini, tetapi kita akan bangkit untuk merubah kedudukan percaturan politik yang menjadi dominasiBarisan Nasional selama ini, insyaAllah.

32. Kita juga mencabar pimpinan Barisan Nasional untuk berani turun ke gelanggang secara amanah dan jujur, tanpa bergantung kepada agensi dan institusi kerajaan, tidak memperkudakan media massa serta 12 menaburkan janji kosong pilihanraya yang saban tahun menjadi rasuah mereka kepada rakyat. Marilah kita turun ke gelanggang secara penuh demokrasi, bukannya berpaut kepada demokrasi yang rosak.

33. Kepada saudara saudari yang hadir dalam konvensyen ini, ingatlah bahawa sekiranya kita ingin mencapai kejayaan yang lebih baik dari pilihan raya umum yang lalu, maka pada ketika dan saat ini kita perlu memperkemaskan jentera pilihan raya, mempersiapkan petugas, merangka strategi berkesan, membaiki kelemahan, dan seterusnya menampilkan calon yang amanah dan jujur kepada rakyat.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

34. Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa konvensyen, pimpinan Pakatan Rakyat, para perwakilan dan pemerhati, dan rakyat yang bersama kita di merata tempat, serta sekalung terimakasih kepada tuan rumah konvensyen yang menjayakan perhimpunan yang bersejarah ini.

35. Mudah-mudahan konvensyen kali kedua ini mampu untuk mencapai objektif yang dicita-citakan.

36. Wassalamualaikum wbr."

|

Friday, December 17, 2010

JAIS SERBU KUBU SYIAH

SERBU...pegawai Jais menyerbu pengikut Syiah ketika mengikuti ceramah yang disampaikan seorang lelaki warga Iran, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Akibat terlalu taksub dengan fahaman diikutinya, seorang pengikut ajaran Syiah mengukir kalimah Allah di lengan tangannya sedangkan tindakannya menyimpang daripada ajaran Islam yang melarang sebarang bentuk ukiran berupa tatu.
Lelaki itu antara 128 yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuan ke sebuah rumah kedai dua tingkat di Taman Sri Gombak, dekat sini, yang dipercayai menjadi kubu kuat pengikut ajaran Syiah di Selangor, malam kelmarin.
Serbuan pada jam 10.15 malam itu disertai sepasukan polis bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan berlaku sedikit ketegangan apabila pengikut terbabit enggan bekerjasama.

Ketika penguat kuasa Jais hendak menahan pengikut lelaki yang bertatu itu, dia langsung tidak menunjukkan rasa bersalah, sebaliknya tegar mempertahankan fahaman dianutinya dengan menceritakan kegiatan dijalankan mereka.
Suasana bertambah tegang apabila seorang pengikut lain bangun dan melaungkan selawat sambil disambut pengikut lain selama beberapa minit.

Apabila diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri, seorang pengikut terbabit memarahi penguat kuasa Jais menyebabkan berlaku pertikaman lidah.

Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang menyertai operasi itu berkata, pihaknya percaya ketika serbuan ratusan pengikut Syiah terbabit mengikuti ceramah khas yang disampaikan seorang lelaki warga Iran.

Menurutnya, ceramah itu diadakan bersempena tarikh 10 Muharam dalam kalendar Islam yang dianggap mulia oleh pengikut Syiah sebagai memperingati kematian Saidina Husain.

“Keseluruhannya, kami menahan kira-kira 200 orang, namun 72 daripada mereka bayi dan kanak-kanak. Jadi hanya 128 individu dewasa yang ditahan untuk diambil keterangan dan sebahagian besar daripada mereka lelaki.

“Jais sudah melakukan intipan selama dua tahun bagi mengumpul bukti mencukupi sebelum melakukan serbuan ini dan penahanan lebih 100 orang terbabit menjadikan ia tangkapan ajaran sesat terbesar di Selangor pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, Jais percaya daerah Gombak menjadi pusat utama penyebaran Syiah di Selangor sedangkan fahaman itu sudah diwartakan sebagai ajaran sesat di Selangor mengikut Seksyen 12 (C) 1995.

Menurutnya, fahaman Syiah lebih berbahaya daripada al-Arqam dan jika dibiarkan ia boleh mengancam keselamatan negara dan perlu dibendung.

“Bagi lelaki, tarikan seks dipercayai menjadi antara sebab utama mereka mudah mengikuti fahaman Syiah kerana fahaman ini menghalalkan nikah mutaah.
“Pengikut Syiah juga beranggapan membunuh Ahli Sunnah Wal Jamaah halal dan dibenarkan, malah menjadi satu jihad kepada mereka.

“Selain itu, mereka turut mendewa-dewakan Saidina Ali berbanding Nabi Muhammad s.a.w. Malah, ganjaran syurga menanti juga pengikut Syiah yang melawat makam Saidina Husain,” katanya.

Mohammed Khusrin berkata, lebih membimbangkan apabila pensyarah turut dikesan menjadi pengikut Syiah dan menyebarkannya kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini.

Berikutan serbuan malam kelmarin, dua lelaki termasuk seorang warga Iran dihadapkan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di Kuang, Selangor, bagi mendapatkan perintah jaminan.

Hakim Syarie Saiful Azli Jamaludin membenarkan kedua-duanya dijamin RM2,000 setiap seorang dan pasport antarabangsa warga Iran itu diarah diserahkan kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Pada prosiding semalam, tiada pertuduhan dibacakan terhadap mereka dan Saiful Azli menetapkan 20 Januari tahun depan untuk sebutan kes berkenaan.

Di luar mahkamah, lebih 20 lelaki dipercayai pengikut Syiah hadir untuk memberi sokongan kepada kedua-dua individu terbabit yang dipercayai pemimpin mereka.


Ciri kesalahan fahaman Syiah

  • Menghalalkan nikah mutaah

  • Menambah nama Saidina Ali dalam syahadah

  • Menolak ijmak ulamak

  • Menziarahi kubur Saidina Husain mendapat ganjaran syurga

  • Menyeksa tubuh badan dengan rantai sempena 10 Muharam

  • Mengharuskan jamak dalam semua keadaan tanpa sebab

  • Mengkafirkan sahabat Nabi Muhammad s.a.w

  • Menyanjungi Saidina Ali secara keterlaluan

  • Menghina isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w

  • Menolak hadis yang diriwayatkan Ahli Sunnah Wal Jamaah sekali pun hadis mutawir


  • HM

    ADUN Tenang, Johor , Sulaiman Taha meninggal dunia

    ADUN Tenang, Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri di Ampang pada jam 1.10 awal pagi ini. Allahyarham berusia 59 tahun.
    Allahyarham meninggalkan isteri Seri Noraini Yaakop, 6 anak perempuan dan seorang lelaki.

    NONEMenurut Umno Online, Allahyarham diirawat di Hospital Ampang Puteri kerana penyakit kencing manis sejak 24 November lalu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan bagi menjalani rawatan lanjut.

    Sebelum ini, dilaporkan Allahhyarham yang juga ketua Umno Labis dimasukkan ke Hospital Segamat selepas mengadu tidak sihat dan terlantar hampir sebulan.

    Pada 24 November lalu, Allayarham memohon dipindahkan ke hospital swasata di ibu negara itu.

    Tenang dilihat sebagai kubu kuat Umno dan pada pilihan raya umum 2008, apabila Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS dengan kelebihan 2,492 undi.

    azlanMenurut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya 2008, Tenang mempunyai 49.66 peratus pengundi Melayu, manakala Cina 38.13 peratus, India 12.11 peratus dan bangsa-bangsa lain 0.10 peratus.

    Awal petang semalam, Bernama memetik setiausaha Umno Labis, Abdul Razak Abdul Rashid, sebagai berkata Sulaiman dirawat di Hospital Ampang Puteri di Kuala Lumpur kerana menghidap penyakit kencing manis dan dalam keadaan stabil.

    Katanya, Sulaiman, 59, menghidap demam biasa sekembalinya daripada menghadiri majlis sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor pada petang 23 November dan dimasukkan ke Hospital Daerah Segamat pada hari yang sama setelah doktor mendapati kadar kandungan gula dalam badannya tinggi.

    Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Ampang Puteri pada hari berikutnya dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan untuk menjalani rawatan selanjutnya.

    Abdul Razak berkata beliau difahamkan oleh pihak hospital keadaan Sulaiman adalah stabil namun perlu menjalani rawatan lanjut kerana disyaki terdapat kuman dalam darahnya.
    -malaysiakini-

    Wednesday, December 15, 2010

    Dengan Islam Melayu akan Terbela - Tuan Guru Nik Abdul Aziz

    bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela.Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam .Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah? - Tok guru

    Ketuanan Melayu: TG Nik Aziz pohon Raja-raja Melayu selesai guna al-Quran

    Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mencadangkan Raja-raja Melayu agar perkenan mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya mengambil berat tentang nasib orang Melayu di negara ini.
    Dalam kenyataan terbaru menyentuh polemik ungkapan Ketuanan Melayu, Mursyidul Am PAS berkata, Raja-raja Melayu yang memperlihatkan kebimbangan mengenai kedudukan orang Melayu sejak kebelakangan ini, perlu tampil mencari jalan penyelesaian menggunakan lunas al-Quran.
    “Apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasib orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada al-Quran.
    “Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku,” kata beliau yang masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
    Dalam hal ini, kata Menteri Besar Kelantan, ungkapan Ketuanan Melayu merupakan ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.
    “Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela,” katanya lagi.
    Sejak bulan lalu, pendebatan isu konsep Ketuanan Melayu ini begitu hebat diperkatakan selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasar Kongres Naional PKR meminta supaya “Ketuanan Melayu” ditinggalkan.
    Malah Perkasa juga mengkritik dengan menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “pelacur politik” dan kacang melupakan kulit kerana meminta ungkapan “Ketuanan Melayu” diketepikan bagi memajukan orang Melayu.
    Dalam kenyataan hari ini juga, Nik Aziz mendakwa Umno tidak mengutamakan kepentingan soal agama Islam tetapi mengagung-agungkan ungkapan Ketuanan Melayu yang dilihat tidak memberikan sebarang faedah kepada negara terutamanya orang Melayu.
    Beliau berkata jika bercakap tentang ketuanan ia mesti kembali kepada Islam, bukannya Melayu yang selama ini menjadi modal perjuangan Umno.
    “Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau.
    “Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah s.w.t,” soal Nik Aziz.
    Beliau juga melahirkan rasa kecewa apabila ada di kalangan orang Melayu di negara ini menolak Islam.
    “Namun, dukacita sekali apabila ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam, menolak Islam bererti menolak ketuanan Islam dan bila menolak Islam ertinya menolak anugerah Allah.
    “Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima, demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengetepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
    Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata slogan “Ketuanan Melayu” yang dilaungkan pemimpin Umno langsung tidak menggambarkan konsep Islam apabila bergelumang dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah.
    “Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu.
    “Apa yang peliknya, di samping menjulang ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab ketuanan Melayu? Melaungkan Ketuanan Melayu dengan mengetepikan Islam hanya akan menjadikan bangsa Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia,” katanya.
    Oleh yang demikian, Nik Aziz mahu rakyat di negara ini berfikir secara matang sekiranya masih mahu Umno-Barisan Nasional (BN) memerintah negara.
    “Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini.
    “Buktinya, di Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh ketuanan Melayu. Orang Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman.
    “Hakikatnya, perjuangan ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia. Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai addin (din dan daulah),” katanya.

    Konvenyen Pakatan Rakyat ke 2: Cerita kejayaan, PRU 13

    Harakahdaily   
    KUALA LUMPUR, 14 Dis: 2000 perwakilan dari parti-parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP dijangka akan berhimpun di Dewan Milllenium Kepala Batas Ahad ini untuk menyertai Konvensyen Ke 2 Pakatan Rakyat.

    Mereka dijangka mempersiapkan Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

    Setiap parti akan menghantar 600 perwakilan tidak termasuk para pemimpin utama parti berkenaan, tetamu dan para pemerhati.

    Sepanjang konvensyen, empat perwakilan setiap parti akan membahaskan perbentangan yang akan dibuat oleh tiga jurucakap utama parti masing-masing.

    "Fokus akan diberikan kepada dua perkara utama dalam konvensyen ini iaitu cerita kejayaan negeri-negeri Pakatan dan mempersiap kami semua untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13," kata Mujahid Yusof (gambar), Pengarah konvensyen ini.

    Untuk mencapai tujuan itu, klip video cerita kejayaan kerajaan negeri Pakatan akan dipersembahkan kepada semua perwakilan semasa konvensyen ini.

    Kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga akan mempamerkan kejayaan mereka melalui booth pameran yang akan mereka sediakan di konvensyen ini.

    Selain Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah turut akan membuat pameran adalah kerajaan negeri Perak ketika diperintah Pakatan dan kerajaan Terengganu dari tahun 1999 ke 2004 yang tidak diketahui masyarakat tentang kejayaan mereka.

    Menurut Mujahid, konvensyen ini juga akan menghasilkan 'buku oren' iaitu buku yang menggariskan polisi Pakatan dalam bentuk perincian dari Dasar Bersama yang telah diluluskan dalam konvensyen pertama tahun lepas.

    "Ia berupa pra manifesto kita dalam pilihan raya umum akan datang," kata Mujahid.

    Tema konvensyen kali ini adalah "Ubah Sekarang" untuk mengajak rakyat membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.

    "Video klip cerita kejayaan, booth kerajaan negeri Pakatan dan buku oren ini akan menjadi  isi atau asas kenapa kita mengajak rakyat ubah sekarang," kata Mujahid.

    Dalam konvensyen lepas, katanya, konvensyen telah selesaikan asas bersama iaitu penerimaan Pakatan kepada Islam agama persekutuan, kedudukan bahasa Malaysia dan juga kedudukan raja-raja Melayu.

    Kali ini, kata Mujahid, pengisian akan dibuat sepenuhnya bagi mempastikan semua sektor rakyat bersedia untuk bersama-sama membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.

    "Kami yakin, dengan cerita kejayaan yang telah kerajaan Pakatan buat, rakyat akan yakin kita mampu memberikan jauh lebih baik berbanding BN," katanya lagi.

    Juruterbang Maut Helikopter Terhempas Di Malim Nawar


    Pegawai Polis Terbunuh Dalam Nahas Helikopter Di Malim Nawar

    Gambar: Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof meninjau keadaan bangkai pesawat helikopter Robinson 44 empat tempat duduk yang terhempas dan terbakar di kawasan lombong, Malim Nawar di Kampar, Selasa. Juruterbang, Inspektor Mohd Shukri Othman, 31, yang bertugas di bahagian latihan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang sedang menjalani latihan memandu solo terbunuh

    KAMPAR: Seorang pegawai polis terbunuh apabila helikopter jenis Robinson 44 (R-44) yang dipandunya ketika dalam latihan terhempas dan terbakar di kawasan lombong, Malim Nawar di sini, Selasa.

    Kejadian berlaku pada pukul 3 petang tadi ketika mangsa Inspektor Mohd Shukri Othman, 31 yang bertugas di Bahagian Latihan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sedang menjalani latihan memandu solo dari sebuah pusat latihan penerbangan swasta di Ipoh.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata Insp Mohd Shukri yang mengendalikan helikopter R-44, dengan empat tempat duduk itu, dipercayai hilang kawalan ketika berada di ruang udara lalu terhempas dan terbakar.

    Mangsa yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang mengalami kecederaan dengan kesan kebakaran di bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian,katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Aziz berkata mayat mangsa di hantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

    Shukri yang telah beristeri dan mempunyai seorang anak dikatakan menjalani latihan memandu helikopter sejak pertengahan tahun ini.

    Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untukmembantu memadamkan kebakaran. - BERNAMA

    Thursday, December 9, 2010

    Nik Aziz terima anugerah Tokoh Maal Hijrah Kelantan 1432 daripada Sultan

    KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dianugerahkan tokoh Hijratul Rasul 1432H Kelantan atas sumbangan beliau menyebarkan dakwah di negeri itu.


    Nik Aziz menerima hadiah wang tunai RM5,000, dinar emas dan sijil penghargaan daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V.


    Beliau yang merupakan bekas guru adalah tokoh ulama yang pernah disenaraikan antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul 'The 500 Most Influntial Muslims'.


    Bagaimanapun, beliau yang ditemui selepas majlis itu enggan mengulas mengenai anugerah itu.


    Sementara itu, Tokoh Saudara Kita, Ridhuan Foo Abdullah, 53, menyifatkan anugerah yang diterima sempena Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan begitu bermakna buat dirinya.


    Katanya, beliau tidak sempat ditemani isteri dan empat daripada enam anaknya untuk berkongsi kegembiraan pada majlis ini kerana mereka berada di Mesir sejak lebih sebulan lalu.


    “Mereka sudah lebih sebulan berada di Mesir dan saya bercadang untuk mengikuti mereka ke sana, Insya-Allah pada 15 Disember ini saya akan ke sana,” katanya.

    Tuesday, December 7, 2010

    HEBOH..satu Pulau..Emak Zambry MB..Miskin Tegar..?

     
    Dalam satu lagi siri ceramah anjuran PasKawasan.pd 5hb dis.DS Nizar..memberitahu bagaimana Zamberi Metalik..klasifasikan IBU beliau dalam golongan Miskin tegar.bukan cakap dalam pasar borong atau pasar malam..tapi dalam sidang dewan undangan negeri baru baru ini..bagaimana zamberi mempertahankan tindakan beliau membeli sebidang tanah menggunakan wang rakyat dan memberi pampasan kepada tuan punya tanah itu dimana ibu beliau tinggal sebagai pendatang atau setinggan di tanah seluas 4 ekar itu.isu menariknya kerana simetalik menebus Tanah atau membeli tanah itu atas alasan Penduduk2 setinggan yang menetap disitu adalah dari golongan MISKIN TEGAR...dan salah seorang penduduk yang dimaksudkan zamberi adalah Ibu beliau sendiri..

    bukan soal beliau membeli tanah itu menggunakan wang rakyat..kita mengalualukan beliau mempertahankan golongan miskin walau pun ibu beliau turut dikatogerikan sebagai miskin tegar..soalnya kenapa selama ini sebelum beliau menajadi MB mahkamah dah pun menjadi yb beberapa penggal..kenapa tidak dia membela dimasa itu..kenapa dimasa ini sewaktu menjadi MB beliau gunakan kuasa MB untuk membeli tanah itu guna wang rakyat..dan kenapa dikahskan hanya tempat ibu beliau saja..ramai lagi kes kes macam ini..dikawasan aku dihadapan masjid tanah seluas 2 ekar milik cetti..dimana ada seramai 23 keluarga..setiap saat dok risau..kerana bebaru ini siceti nak jual tanah itu..sepatutnya mendapat pembelaan..cerita ini satu Taiping tahu..kenapa tidak dibela..bukan banyak pun rm400 ribu saja nak jual..

    pampasan yang dibayar kpd pemilik tanah dipulau itu..uhhh cukup mewah..senyum sampai ketelingale sizainal itu..rm400 ribu,2 lot tanah ditapak itu..2 lot tanah kg tersusun ditempat yang lain..dan 20 ekar diladang rakyat..wooooi..hanya kerana adanya IBU SIMETALIK...senyum sokmo si zainal...

    Monday, December 6, 2010

    Perutusan Ma'al Hijrah YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

    Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
    • Firman Allah SWT yang bermaksud:"Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui, (yaitu) orang-orang yang sabar dan Hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal.." – Surah an-Nahl, ayat 41-42
    Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus hidup di bumiNya ini dan berada di ambang tahun baru 1432 H pada hari ini. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang terus menerus dikurniakan Allah SWT kepada kita ini wajarlah digunakan untuk meningkatkan amalan dan ketaqwaan kita sebagai bekalan untuk mengadap Allah SWT suatu masa kelak.

    Memperingati peristiwa hijrah bukanlah satu kegiatan yang diada-adakan tanpa asas. Sambutan ini yang dibuat untuk memperingati peristiwa hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW sebenarnya telah diperintahkan oleh al-Quran sendiri. Allah SWT berulang kali di dalam al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua. Justeru, memperingati peristiwa hijrah ertinya membelek semula lembaran sejarah untuk melihat dan mempelajari bagaimanakah pengorbanan yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan ketuanan Allah SWT di muka bumi ini.

    Hari ini, setelah 1432 tahun ia berlalu, kisah hijrah Rasulullah SAW masih kekal segar dan terpahat kukuh dalam ingatan kita. Persoalannya, adakah cukup sekadar ia diingati dan disebut tanpa dihayati semangatnya? Tentulah tidak. Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pihak agar sama-sama melakukan gerak kerja berhijrah untuk menjadi manusia yang lebih baik pegangan dan perilakunya selepas ini.

    Lakukanlah hijrah ke arah kebaikan dalam semua aspek. Di bidang ekonomi, berhijrahlah dari ekonomi riba kepada ekonomi yang diredhai oleh Allah SWT. Di dalam bidang pendidikan, berhijrahlah dari sistem pendidikan yang hanya mengutamakan merit dan sijil semata-mata kepada sistem pendidikan yang benar-benar berteraskan wahyu dan berorientasikan pembentukan minda dan akhlak yang baik. Di dalam bidang politik, tinggalkanlah politik sekular dan berhijrah kepada politik Islam yang sebenar, politik yang turut mengambil kira soal dosa dan pahala di dalam gerak kerja. Seterusnya di dalam semua bidang di dalam kehidupan, selaraskanlah semuanya agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT.
    Insya-allah, kita yakin jika semangat ini dapat dihayati dengan sebaik mungkin, kita tidak akan berdepan dengan pelbagai masalah untuk mengurus tadbir kehidupan masyarakat.

    Sekian.
    MEMBANGUN BERSAMA ISLAM – KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN
    Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat Pejabat Menteri Besar Kelantan. Bertarikh : 28 Zulhijjah 1431H / 5 Disember 2010M

    Friday, December 3, 2010

    http://www.terengganukini.net/gambar/2010/tghh2010.jpg 
    Yang Berhormat Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS  akan berada di Pasir Panjang, Seri Manjung, untuk bersama rakyat dalam program Hi Tea sempena sambutan Maal Hijrah Pas Perak pada 7 Disember 2010 (Selasa) bersamaan 1 Muharam 1432h, jam 3.00 petang. Beliau akan menyampaikan ucapannya pada program tersebut dan minum petang bersama rakyat. Semua Di jemput hadir.

    Wednesday, December 1, 2010

    Harga petrol RON97 akan dinaikkan 15 sen lagi

    Harga petrol RON97 akan dinaikkan 15 sen lagi kepada RM2.30 seliter berkuatkuasa 1 Disember ini, mengikut sumber.
    Pengumuman rasmi dijangka akan dibuat lewat hari ini. Bagaimanapun harga petrol RON 95 kekal tidak berubah pada RM1.85 seliter.
    azlan
    Harga petrol RON 97 tidak ditetapkan kerajaan kerana ia diapung mengikut pasaran minyak dunia semasa.

    Pada 1 Nov lalu, harga petrol RON97 dinaikkan 5 sen menjadi RM2.15 seliter.
    Sementara itu, selepas mempengerusi mesyuarat majlis tertinggi Umno, malam semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kenaikan harga petrol RON97 yang kini
    tidak lagi diberikan subsidi oleh kerajaan, adalah berdasarkan kepada harga semasa pasaran dunia dan bukan ditetapkan oleh kerajaan.

    "RON97 merupakan sesuatu yang ditentukan oleh pasaran bukan oleh kerajaan, (iaitu) kalau ada kenaikan (harga) disebabkan harga minyak itu naik dan kalau ada penurunan adalah disebabkan harga minyak turun," katanya.

    Henti diskusi ke Putrajaya, kuatkan parti dahulu

    Presiden PAS luang masa kunjungi Maha 2010

    Nazri & Wan Nordin Foto: Wan Zahari   
    SERDANG, 30 Nov:
    Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan isteri, Toh Puan Seri Zainab Awang Ngah hari ini meluangkan masa melawat tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2010.
    Turut serta ke pameran yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan isteri.
    Mereka tiba di sini kira-kira jam 11.30 pagi tadi, dan meluangkan masa hampir tiga jam melawat tapak pameran.
    Kehadiran mereka disambut oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, timbalannya, Datuk Johari Baharom dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Nordin Ahmat di dewan khas.
    Mereka kemudian diberi penerangan mengenai penganjuran MAHA kali ini.
    Selepas itu mereka dibawa ke Laman Jentera sebelum dipertontonkan persembahan aksi lasak bagaimana koboi menumbangkan lembu liar.
    Pertunjukan hebat itu dilakukan sekumpulan penunggang Rodeo profesional dari Australia Bushmen’s Campdraft and Rodeo Association Ltd (ABCRA) yang didatangkan khas untuk pameran MAHA.
    Selepas menyaksikan pertunjukan bahaya itu, mereka kemudiannya pula dibawa melawat ke kawasan laman sayuran.
    Di sini, rombongan Tuan Guru Abdul Hadi bertembung dengan rombongan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
    Kesempatan itu diguna dengan saling bertanya khabar dan berkongsi cerita tentang sayur-sayuran.
    Setelah berada di situ hampir 10 minit, mereka kemudiannya dibawa melawat ke kawasan laman penternakan sebelum dijemput menikmati jamuan khas yang disediakan oleh MOA.
    Selesai menikmati juadah yang disediakan, mereka kemudian mengakhiri sesi lawatan dengan berkunjung ke bazar agro di dewan pameran.
    Pameran MAHA bertemakan `Inovasi Pertanian Pemangkin Pembangunan’ akan berlangsung sehingga 5 Disember ini.

    Menara 100 tingkat diteruskan, jika berdaya maju


    jibKUALA LUMPUR: Cadangan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk membina Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat akan hanya diteruskan sekiranya berdaya maju dari sudut komersial.
    Perdana Menteri Najib Tun Razak hari ini berkata projek itu harus juga memberi sumbangan kepada pembangunan ekonomi di sekitar kawasan itu dan menyediakan peluang-peluang perniagaan.
    "Projek ini mesti memenuhi syarat-syarat ini dan jika syarat-syarat ini dapat dipenuhi maka projek itu akan diteruskan.

    "Menara itu harus memberi rangsangan dan menjadi katalis untuk Greater Kuala Lumpur," kata beliau kepada para pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Pelabur Menteri Kewangan Asean Ketujuh bertajuk "Penemuan Hari Esok Asean" di sini.
    Semalam, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata negara tidak perlu kepada bangunan pencakar langit buat masa ini kerana terdapat tanda-tanda kelambakan hartanah.
    Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, terpulang kepada PNB untuk membuat perkiraan kewangan.
    Kenyataan yang dangkal
    Mengenai timbulnya persepsi bahawa Menara itu akan menenggelami populariti Menara Berkembar Petronas, yang dikaitkan sebagai hasil kejayaan Mahathir, beliau berkata, "ini merupakan kenyataan yang dangkal.  Kita bercakap mengenai kesinambungan."
    "Apa yang Mahathir telah lakukan harus dipuji tapi apa yang kita perlu ialah membina atas kejayaan beliau dan bergerak maju dan membangunkan Malaysia.
    Di samping itu katanya, Warisan Merdeka merupakan projek untuk 10 tahun dan lebih dan kawasan di sekitar Stadium Merdeka di mana projek itu akan didirikan merupakan kawasan yang strategik.
    "Ini merupakan projek jangka panjang.  Kita tidak boleh melihatnya dalam tempuh dua tiga tahun.
    "Jika anda melihat ruang udara Kuala Lumpur pada tahun 2020 kelak, ia tidak sama seperti hari ini.  Pudong di Shanghai mempunyai banyak bangunan pencakar langit.  Sudah pasti, di sana lebih banyak bangunan pencakar langit.
    "Mari kita gambarkan KL pada tahun 2020.  Mari kita lihat pada perspektif jangka panjang.  Lagi pun, jika kita capai Visi 2020, ia merupakan satu visi yang diilhamkan oleh Mahathir sendiri," katanya.
    - Bernama